Idealisme perlu digilap sesudah menang - Anwar


 

Idealisme merupakan satu perkara yang menjamin KEADILAN terus bertahan sejak 25 tahun lalu biarpun pernah kalah teruk pilihanraya 2004 atau pun dikhianati pemimpin utama pada 2020.



Bagi Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, idealisme tersebut perlulah sentiasa digilap, apatah lagi selepas menang dan memerintah.



"Kita satu perjuangan melalui liku liku yang getir, tetapi kita mempunyai satu idealisme. Idealisme itu mesti digilap. Tidak ada manusia dalam tamadun dunia, idealisme itu kekal mantap (tanpa digilap), tidak. Dia mesti terus digilap.



"Tanpa itu dia akan senang pudar seperti mana saya ungkapkan semalam. Kilauan itu memang memukau tetapi tarikan kepada kesenangan, kemewahan dan harta menyebabkan ramai kecundang.



"Sejarah dalam parti tidak ketinggalan. Kita melahirkan pejuang, kita melahirkan mujahid, kita lahirkan penggerak reformasi. Kita juga telah menyaksikan pengkhianatan Raja Mendaliar, si Kitul dan rakan rakan mereka.



"Sebab itu dalam kongres khas ini kita harus bersedia membuat penilaian. Apa dia yang menegakkan KEADILAN sebagai satu tunggak perjuangan," katanya dalam ucapan pembukaan Kongres Nasional Khas KEADILAN di Stadium Melawati, Shah Alam pagi ini.



Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, apa yang dilakar dalam perisytiharan Permatang Pauh pada 1997, yang diungkap sebagai gerakan awal 'tidak ada upaya selain daripada melakukan perubahan sedaya upaya' telah pun berlaku dalam bentuk politik mentadbir negara.



Namun reform, katanya, juga harus berlaku dalam sistem bernegara dan hasil akhirnya kepada kesejahteraan hidup rakyat di dalam negara Madani.



"Kepada kita persoalan dibangkitkan kini adalah tentang semangat dan cita cita. Sekarang kita di tampuk pemerintahan. Kita bukan dinilai dari ungkapan, lakaran. Kita dinilai dari pelaksanaan. Bukan seorang PM itu tetapi seluruh jentera kekuatan, parti dan gagasan dalam Kerajaan Perpaduan.



"Dalam majlis lain saya jelaskan mengapa kita memilih untuk bersama dengan Umno-BN, GPS dan kini GRS. Kita perlu selamatkan negara ini dan kita perlu selamatkan dengan kekuatan suara rakyat. Kita bertempur rakyat memilih



"Tetapi kita tidak pernah memilih untuk kompromi prinsip dan idealisme. Sebab itu orang tanya mengapa kita pilih kerjasama dengan Umno-BN, saya jawab 4 bulan lebih dalam kerajaan tidak sedikit pun kita tolak ansur tentang negara hukum, anti rasuah, memelihara dan membela nasib rakyat, dan seluruh kekuatan Kerajaan Perpaduan itu bersama kita dalam perjuangan ini," katanya lagi.



Dalam pembukaan kongres khas ini juga Anwar mengungkapkan teriakan Reformasi, namun perkataan seterusnya 'Lawan Tetap Lawan, Lawan Sampai Menang' ditukar kepada 'Lawan Sudah Menang' yang menerima sorakan gemuruh para perwakilan.