“TUN MAHATHIR LUMPUHKAN ORANG MELAYU MELALUI DEB”

 

Dr Mahathir Mohamad berjaya menggunakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk melumpuhkan orang Melayu supaya berfikir mereka selamanya memerlukan “topang” untuk mendahului persaingan dengan yang lain, menurut seorang bekas Ahli Parlimen.

Tawfik Ismail berkata, DEB seperti dibayangkan oleh Tun Abdul Razak dan Tun Ismail Abdul Rahman (bapa Tawfik) bertujuan memberikan kelebihan sementara buat orang Melayu, bukan kebergantungan berpanjangan.

Menggunakan handicap golf sebagai analogi, Tawfik berkata, DEB adalah untuk menggalakkan orang Melayu berusaha ke arah menunjukkan kecekapan dan kemahiran yang lebih baik suatu hari nanti.

“Mahathir melihat orang Melayu sebagai ‘handicapped’, atau apa yang orang Melayu panggil ‘cacat’ atau hilang upaya kekal, memerlukan topang sepanjang hayat untuk bertahan.

“Beliau juga bukan ahli sukan, dan tidak tahu bahawa menang dan kalah adalah sebahagian daripada permainan kehidupan. Oleh itu, apabila tewas dalam permainan politik, beliau tidak puas hati,” katanya kepada FMT.

Tawfik, bekas ahli Umno, adalah Ahli Parlimen Sungai Benut dari 1986-1990. Beliau mengasaskan kumpulan reformasi pilihan raya Bebas Gerak pada 2019. Kumpulan itu berusaha untuk menjadi “kuasa ketiga” pada pilihan raya.

Beliau berkata, kejayaan “indoktrinasi kebergantungan” Mahathir adalah sebab utama orang Melayu sekarang berfikir bahawa mereka tidak boleh berjaya tanpa bantuan.

“Inilah sebabnya orang Melayu mempunyai mentaliti ‘topang’ ini. Berbanding bersaing dan cuba bermain di padang yang sama rata, mereka sebenarnya terkial-kial, yang saya fikir adalah hasil akhir Mahathirisme.

DEB pertama kali diperkenalkan pada 1970 selepas rusuhan 13 Mei 1969. Dasar itu mengemukakan tindakan afirmatif pro-Bumiputera dengan pengagihan kekayaan sebagai terasnya. Walaupun secara rasmi berakhir pada 1990, ia terus membentuk dasar negara.

Tawfik juga berkata, timbul kebimbangan bahawa jenis Islam yang dijaja oleh Anwar Ibrahim semasa beliau menjadi orang kanan Mahathir pada 90-an akan kembali.

Ketika Anwar, kini perdana menteri, sedang mempromosikan Islam dan konsep Malaysia Madani, beliau gagal memasukkan peranan sultan sebagai ketua perlembagaan Islam di negeri-negeri, kata Tawfik.

Beliau berkata, Islam versi Anwar juga banyak dipengaruhi oleh Arabisme, yang mengabaikan budaya dan amalan Melayu.

“Ini menggalakkan sejenis pemikiran yang menjadikan gelombang hijau realiti kerana ia menggalakkan pandangan lebih sempit tentang apa itu Islam,” kata Tawfik.

Gelombang hijau merujuk kepada kebangkitan luar biasa dicapai PAS pada PRU15 November lepas, yang menang 44 kerusi, sekali gus muncul sebagai parti politik tunggal terbesar di Dewan Rakyat.

Tawfik berkata Anwar, dalam mempromosikan Islam, gagal mengambil kira multikulturalisme, serta perlindungan perlembagaan lain atas kepercayaan dan budaya lain.

Sumber –FMT




No comments: