UNTUK BUKTIKAN BERSATU TIDAK SAMA PERANGAI MACAM UMNO, WAN SAIFUL MESTI LETAK JAWATAN KETUA PENERANGAN


 Bersatu sering menggambarkan ia sebuah parti yang berbeza dengan UMNO.

Ketika sejumlah pemimpin UMNO didakwa di mahkamah, Bersatu selalu berbangga ia memiliki pemimpin yang bersih dan tidak termasuk dalam kelompok kluster mahkamah.

Malah ketika Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi didakwa di mahkamah dan tidak berundur daripada jawatannya, perkara itu adalah momokan lumayan yang digunakan Bersatu untuk menghentam UMNO.

Keadaan Zahid Hamidi yang masih bergayut pada jawatannya itu digambarkan beliau mahu menggunakan kedudukannya dalam UMNO sebagai perisai pelindungnya.

Bahkan boleh juga dikata menggunakan UMNO dan seluruh ahli sebagai perisainya

Tidak cukup dengan itu, lantaran bangga kerana memiliki pemimpin yang bersih itu, PN yang ditunjangi Bersatu turut menggunakan ungkapan “PN Best” sebagai slogannya.

Buat sementara waktu, memang diakui Bersatu memiliki pemimpin-pemimpin yang belum tercemar dengan gelaran kluster mahkamah dan itulah barangkali yang mendorong parti itu lebih diyakini pengundi berbanding UMNO pada PRU15 yang lalu.

Tetapi, dengan pendakwaan terhadap Wan Saiful Wan Jan, tambahan lagi berdasarkan pertuduhan meminta dan menerima wang rasuah sejumlah RM6.9 juta daripada seorang tauke Cina yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat peribadi miliknya sendiri, Bersatu dan PN dengan sendirinya telah tercemar imejnya.

Kalau diambil kira dengan pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said yang menyebut, selain Wan Saiful, sejumlah ahli keluarga pemimpin Bersatu juga didapati turut memperolehi projek melalui inisiatif Jana Wibawa sebagaimana salah laku yang dilakukan Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu.

Ini memberi gambaran, selepas Wan Saiful, kemungkinan besar beberapa lagi pemimpin Bersatu bakal menjadi ahli kluster mahkamah juga selepas ini kerana dakwaan salah guna kuasa untuk kepentingan peribadi.

Tidak kurang ada yang berkata, Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yasin sendiri tidak mustahil bakal dldakwa juga berkaitan Jana Wibawa itu.

Apa pun, dengan pendakwaan terhadap Wan Saiful, Bersatu tidak boleh lagi mendabik dada bangga dengan imej bersih yang ada padanya ketika ini.

Imej bersih Bersatu hanya dapat dipertahankan jika Wan Saiful, sementara kesnya menunggu tarikh dibicarakan, sedia bersikap “gentleman” dan berundur diri daripada jawatan Ketua Penerangan yang disandangnya sekarang.

Sekurang-kurangnya dengan berundur atau meletak jawatan itu, Wan Saiful tidak menggunakan jawatannya dalam parti sebaga perisai untuk melindunginya.

Hanya dengan berbuat demikian, imej bersih Bersatu terhindar daripada diheret dalam pertuduhan yang dikenakan terhadap Wan Saiful.

Sekaligus ia dapat benar-benar meletakkan parti itu berbeza perangai dengan UMNO.

Jika tidak meletakkan jawatan dan masih lagi bergayut dengan jawatan Ketua Penerangan Bersatu, apa bezanya Wan Saiful dengan Zahid Hamidi dan lain-lain pemimpin UMNO yang didakwa di mahkamah?

Dengan Wan Saiful tidak meletakkan jawatan, makna kata slogan “PN Best” pun sudah patut ditukar kepada “PN Tidak Lagi Best”. – ShahbudinHiusin 22/02/2023.