Terpilih atau tidak, menteri tiris perlu diburu


Jangan terpedaya dengan teriak tangis melalak mereka bahawa ini satu perburuan. Jangan tertipu dengan wajah jambu dan senyum yang mencairkan.

Ketirisan adalah satu bentuk penyelewengan dan korupsi. Tidak ada cara lain untuk mengajar haiwan-haiwan politik yang kita pilih untuk mengurusi hal negara tetapi kemudiannya membaham harta awam. Caranya ialah kita tangkap dan dakwa mereka. Biarlah mereka melalak apa pun tatkala mencari jalan meneriakkan slogan politik yang konon bersih.

Berkait harta awam, terdapat banyak dana kerajaan yang disalurkan untuk rakyat, bagi membantu kita yang sedang dalam kesusahan. Ramai dalam kalangan kita terjejas dek bencana alam seperti banjir, atau terkesan oleh musibah pandemik berkebelakangan yang lalu. Akan tetapi dana kerajaan ini – yang asal niatnya baik untuk membantu rakyat – telah diselewengkan, lantas berlaku ketirisan.

Hal sedemikian sering berlaku ketika proses pelaksanaan atau pemberian dana ini. Sebagai misalan ini terlihat dalam pendanaan untuk membantu mangsa banjir. Untuk mengesahkan nasib malang mangsa tersebut, selalunya kita memerlukan laporan polis, pendaftaran syarikat dan lain-lain pembuktian. Akan tetapi bayangkan, laporan polis itu lekas diremehkan dengan alasan ia karenah birokrasi (kononnya mangsa banjir sudah dalam kesusahan bahkan lagi disusahkan), sebaliknya diganti dengan hanya surat jaminan seorang ketua bahagian parti tertentu. Maka di sinilah boleh berlaku ketirisan berleluasa dan haiwan-haiwan politik ini bermaharajalela.

Tangkap sahaja ketua bahagian itu, jika mereka kacak dan meleleh seksi maka lebih patut ditangkap dan didakwa. Jika mereka buruk dan buncit pun wajar dihukum. Jangan beri muka.

Rentetan seruan Madani oleh perdana menteri hari ini, iaitu ingin membanteras ketirisan agar wang negara dalam keadaan selamat; maka kita juga perlu memberi perhatian kepada kelakuan tiris dalam kalangan haiwan politik ini. Ketirisan mengakibatkan kerugian di pihak kerajaan. Apabila berlaku ketirisan, ia menjejaskan operasi perkhidmatan awam di mana penguatkuasaan, pembinaan sekolah atau hospital, jaminan pekerjaan untuk doktor kontrak, pembaikan jalan raya, dan menaik taraf pengangkutan awam akan tergendala.

Oleh sebab itu saya berpendapat, kita jangan beri muka sepicing pun kepada mana-mana haiwan politik baik beliau itu seorang menteri atau bekas menteri; jika terbukti mereka itu membiarkan lantas memboloskan poket kerajaan sehingga berlakunya ketirisan.

Ketirisan adalah bahagian dari penyelewengan dan korupsi. Kita tidak boleh lagi bertolak ansur dengan ketirisan kerana ia bukan nilai yang Islami. Kita membaca banyak sejarah dan biografi para pemerintah Islam yang luhur, misalnya yang memadamkan pelita di kediaman rasminya kerana dikhuatiri minyak bakar itu menggunakan wang negara. Kita juga membaca banyak sejarah dan riwayat para pemerintah yang berintegriti, bagaimana wang perbendaharaan dijimatkan dan jangan sampai dijoli sesuka hati memandangkan pada tiap keping wang itu terdapat haknya orang fakir, anak yatim, rakyat terbanyak dan minoriti yang mengharap.

Salah satu resipi kejayaan negara maju seperti Jerman dan Jepun ialah kecekapan mengatur defisit negara supaya mengecil. Untuk itu kerajaan bijak berbelanja dan berhemah sembari cekap dalam menghasilkan pulangan tertinggi. Semua itu diupayakan dengan kadar ketirisan sifar. Dengan demikian negara-negara ini meskipun berdepan badai bencana dan gugatan kewangan tetap mampu mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik.

Menjelang belanjawan yang bakal diketengahkan, kita mesti akur Malaysia sedang berdepan kelayuan defisit tidak sudah, ketegangan defisit tahun demi tahun dan perlu mencari makjun kuat penjanaan hasil yang berkesan. Kita juga perlu bertahan kerana keberkesanan pengurangan defisit memerlukan masa.

Sementelah beban besar mana-mana kerajaan pun yang memerintah Malaysia adalah pada ekonominya, kerana negara kita terlalu memberi subsidi. Di sinilah datangnya perang melawan ketirisan untuk membantu menyelamatkan wang dan masa depan negara sangat diperlukan.

Inilah sebabnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus diupayakan, dan dibenarkan menangkap dan mendakwa baik jerung mahupun bilis. Asalkan tiris, ia perlu dibendung dan dikekang. Kita boleh memahami mengapa misalnya SPRM memberi tumpuan kepada proses pemberian dana yang lemah. Yang mana telah saya sebutkan di atas, iaitu pengabaian atau ketidaktelitian semakan terhadap ketulenan maklumat yang dikemukakan pemohon (individu, syarikat, pertubuhan) dalam usaha mereka beroleh dana kerajaan.

Bila dikorek-korek oleh SPRM akan terserlah misalnya ada beberapa syarikat yang dimiliki orang sama dalam membuat tuntutan. Tidak pasal-pasal mereka kaya raya dengan dana awam. Biarlah kalau pemilik syarikat itu kacak tampan sekalipun, tangkap dan dakwa mereka.

Penyelewengan dan ketirisan dana dan bantuan adalah bahagian dari korupsi yang tidak harus diremehkan. Oleh kerana itu saya fikir, kenyataan Ahmad Khusairi Yahaya selaku timbalan ketua pesuruhjaya (operasi) SPRM baru-baru ini mesti dipandang berat. Menurut beliau kerjasama antara SPRM dan agensi serta kementerian tertentu menerusi pelbagai operasi khas sepanjang 2022 membolehkan seramai 133 individu terdiri daripada pemilik dan pengarah syarikat yang mengambil kesempatan dari kebolosan dan kelemahan sistem dan proses ditangkap. Juga lebih dari 100 syarikat disiasat khusus kerana terlibat dalam penyelewengan dana yang dianggarkan berjumlah RM194 juta. Seramai 34 pemilik atau pengarah syarikat pula didakwa di mahkamah atas kesalahan mengemukakan tuntutan palsu.

Bayangkan berapa banyak sekolah dan hospital dapat didanai dengan jumlah tersebut? Jangan terpedaya dengan teriak tangis melalak mereka bahawa ini satu perburuan. Jangan tertipu dengan wajah jambu dan senyum yang mencairkan.

Itulah sebabnya pendakwaan baik ia terpilih atau tidak terpilih mestilah dilakukan. Jika ada mana-mana menteri atau bekas menteri; kalau-kalau terbukti mereka itu membiarkan dan memboloskan poket kerajaan sehingga berlakunya ketirisan, jangan dilepaskan.

Usaha SPRM untuk menangkap dan mendakwa mana-mana individu yang mengakibatkan ketirisan dan penyelewengan dana termasuk dalam sektor sumber manusia, kebajikan, automotif, pendidikan, pengajian tinggi, penternakan, pertanian serta perladangan mestilah disokong masyarakat.

Tanggungan peningkatan hutang negara yang sudah melesat sehingga hampir RM1.2 trilion antara lain berlaku disebabkan banyaknya ketirisan pada zaman Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN). Ia antara lain membabitkan 1MDB, perbelanjaan Jana Wibawa, dan tebatan banjir.

Dalam hal membasmi ketirisan ini; kita jangan beri muka kepada mana-mana menteri atau bekas menteri. Siapa pun yang tiris dan cirit kita kejar dan buru mereka. Hukum dan azabkan.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


No comments: