HENTI SEBARKAN FITNAH TENTANG J-KOM



1. Ada yang mengkritik pelantikan staf di pejabat J-Kom. Dan mereka masih menganggap J-Kom adalah alat parti tempat bersarangnya pegawai yang tidak layak. 


2. Pengkritik mengaitkan staf J-Kom sebagai tempat pelantikan politik oleh PM DSAI. Dua yang menjadi serangan pengkritik ini adalah Siti Aishah Syeikh Ismail dan juga Sham Ghaz.


3. Siti Aisyah didakwa telah dilantik sebagai Pengarah J-Kom Zon Utara dengan syarat yang tidak mencukupi, dan Syam Ghaz didakwa dilantik sebagai pegawai J-Kom dengan gaji RM50k sebulan.


4. Saya tegaskan pelantikan pegawai J-Kom atas apa juga jawatan adalah cadangan saya. Ini adalah barisan kepimpinan J-Kom yang saya pilih setelah yakin mereka boleh bekerjasama dalam menjayakan fungsi J-Kom untuk menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat dan menghubungkan rakyat dengan kerajaan.


5. Fungsi J-Kom ada tiga yang utama: membudayakan ilmu, mendigitalisasikan masyarakat, dan meningkatkan patriotisme rakyat.


6. Saya yakin mereka berdua boleh melaksanakan fungsi ini dengan baik, jika dilantik.


7. Pertanyaannya, betulkan Siti Aisyah dilantik sebagai pengarah zon utara? Saya mengesahkan Siti Aisyah bukanlah pengarah zon utara. Beliau masih belum mempunyai sebarang jawatan di J-Kom.


8. Begitupun, In Shaa Allah, di masa akan datang, jika ada keperluan, saya akan melantik Siti Aisyah di kedudukan yang sesuai untuk membantu saya—tentunya mengikut peraturan yang betul.


9. Bagi saya, pengalaman Aisyah sebagai aktivis sosial dan senator boleh memainkan peranan untuk mendekatkan J-Kom dengan rakyat.


10. Syam Ghaz adalah timbalan saya. Gaji dan elaunnya tidak sampaipun satu pertiga daripada jumlah RM50k yang disebutkan.


11. Saya melantik beliau kerana saya yakin beliau boleh memberikan komitmen penuh untuk membantu saya mengatur program dengan rakyat, dan melaksanakan fungsi J-Kom. 


12. Beliau seorang anak muda yang aktif, bertenaga, mempunyai kesungguhan, dan komited dalam menjalankan tugasnya. Saya menemu bual beliau, dan setelah itu, saya yakin dalam dirinya mengalir nadi rakyat. 


13. Setelah pelantikan telah dibuat, yang tentunya mengikut semua peraturan yang dibenarkan, janganlah lagi kita menyebarkan fitnah. Saya telah membentuk pasukan yang baik untuk J-Kom dan telah pun menggariskan dasar dan visi J-Kom yang jelas.


14. J-Kom bukan alat parti politik, tetapi J-Kom adalah alat kerajaan untuk menyampaikan wawasan Malaysia Madani yang digagaskan oleh PM.


15. Jika J-Kom alat parti, tengoklah apa yang kami buat di J-Kom. Tengok fb J-Kom dan media sosialnya yang lain. Ada kami berpolitik? 


16. Kami hanya menyampaikan dasar-dasar kerajaan sehingga ada yang pro pada parti-parti tertentu menuduh kami sebagai lembab dan tidak berfungsi. Kami jelaskan kami bukan parti politik untuk berfungsi sebagai alat parti.


17. Kelmarin J-Kom telah mengiklankan kekosongan jawatan di fbnya. Kepada sesiapa yang berminat, mohonlah. Kami akan memproses semua permohonan mengikut garis panduan yang ditetapkan SPA.


18. Saya memohon maaf jika kami di J-Kom ada kelemahan. Kami sentiasa berusaha menjadi yang terbaik. Pejabat kami tidak hanya terbuka kepada satu parti politik sahaja, tetapi kepada semua parti. 


19. Datangi J-Kom jika ada program untuk rakyat yang kita boleh lakukan bersama. J-Kom akan turun padang dalam waktu yang terdekat untuk memasarkan program Malaysia Madani. Dalam bulan puasa ini, kami akan mengadakan program Ramadan. Sesiapa sahaja dijemput untuk mengadakan program ini bersama.


20. Dan kepada yang terus menyebar fitnah tentang J-Kom, jangan biarkan kami bertindak. Kita jadilah rakyat Malaysia yang saling menghormati dengan mengelakkan diri dari menimbulkan fitnah yang kesannya menyakitkan.


DATO DR’ MOHAMMAD AGUS YUSOFF

Ketua Pengarah

Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM)