‘Kerajaan perpaduan’ Malaysia berdepan cabaran keras- BAHAGIAN 2



Lutut yang terdedah

Pada bulan Januari lalu, seorang wanita dilaporkan tidak dibenarkan memasuki balai polis di Kajang, Selangor kerana memakai seluar pendek – yang katanya bertentangan dengan etika berpakaian di balai itu.

Baru-baru ini pula, seorang pegawai perubatan di Hospital Kampar dilaporkan menolak untuk memberi rawatan untuk seorang wanita yang berseluar pendek. Apa pula seterusnya?

Pada tahun 2015 theSun ada menyiarkan artikel berjudul “Kod berpakaian di agensi kerajaan hanya untuk penjawat awam“.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Azalina Othman Said, dilaporkan berkata tidak ada peraturan pakaian khusus yang ditetapkan untuk dipatuhi orang ramai ketika melawat mana-mana agensi kerajaan. Hanya penjawat awam yang terikat dengan etika berpakaian di tempat kerja mereka, yang akan dikemas kini dari semasa ke semasa. Pejabat kerajaan tetap akan melayan orang ramai walaupun mereka tidak berpakaian sesuai di pejabat, katanya.

Pandangan yang sama turut dipegang oleh menteri undang-undang ketika itu, Nancy Shukri, yang dilaporkan berkata bahawa orang ramai sepatutnya boleh memakai apa sahaja yang mereka mahu, asalkan bukan tidak senonoh.

Sehingga hari ini, Nancy Shukri, yang kini Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, tetap mengekalkan pendiriannya: “Adalah tidak wajar untuk menafikan akses kepada mana-mana individu ke balai polis tanpa mengira cara mereka berpakaian.”

Penguatkuasaan mana-mana kod berpakaian sewenang-wenangnya ke atas orang awam, terutamanya mereka yang memerlukan perkhidmatan dan bantuan kerajaan, adalah tidak boleh diterima.

Lebih buruk lagi, ia merupakan diskriminasi dan satu bentuk kawalan ke atas kebebasan orang ramai memilih pakaian, terutamanya bagi para wanita.

Menafikan perkhidmatan berdasarkan pakaian merupakan sebuah pembulian terhadap cara seseorang berpakaian.

Penyedia perkhidmatan dalam sektor kerajaan sepatutnya menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai. Tumpuan harus diberikan kepada penyampaian perkhidmatan yang cepat dan berkesan dengan penuh belas kasihan dan akal yang sihat.

Sama ada lutut atau paha seseorang kelihatan atau kedua-duanya bagi yang memerlukan perkhidmatan bukanlah isunya. Pandangan subjektif mengenai soal kesopanan juga bukanlah isunya di sini.

Semoga pentadbiran baharu ini berani untuk menghapuskan etika berpakaian untuk orang ramai di pejabat kerajaan.

Kemiskinan akan datang

Senarai isu yang dihadapi kerajaan kini cukup panjang. Perkara utama yang diperlukan adalah untuk kerajaan berusaha ke arah menyediakan jaringan keselamatan sosial untuk semua lapisan masyarakat, ketika rakyat bergelut dengan inflasi dan peningkatan kos sara hidup.

Pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semasa pandemik Covid telah mengurangkan simpanan persaraan para ahli. Mengikut data KWSP, 51.5% atau 6.7 juta ahli di bawah umur 55 tahun mempunyai simpanan di bawah RM10,000 pada akhir 2022. Daripada jumlah ini, 3.2 juta ahli mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000.

Bagaimanakah mereka ini akan bertahan menuju tahun persaraan mereka nanti? Pada kadar semasa ini, mereka akan bersara dalam kemiskinan.

Parti Sosialis Malaysia (PSM), dalam kempen memulihkan negara iaitu #RakyatMintaLima, telah mencadangkan pencen bulanan untuk warga emas yang tidak mempunyai sebarang bentuk pencen, di bawah tonggak untuk memperkasakan keselamatan sosial.

Ini adalah sesuatu yang kerajaan sekarang harus pertimbangkan sambil meneruskan pemberian wang tunai kepada kumpulan yang mudah terjejas.

Sementara itu, pelaksanaan penuh gaji minimum RM1,500 masih menjadi perjuangan walaupun perintah gaji minimum berkuat kuasa sejak 1 Mei 2022. Pekerja di tempat kerja yang mempunyai kurang daripada lima pekerja perlu menunggu sehingga Julai 2023 untuk menerima gaji sebanyak RM1,500.

Bank Negara pada 2018 mencadangkan gaji sara hidup RM2,600 untuk seorang warga dewasa bujang di Kuala Lumpur. Jadi tidakkah anda tertanya-tanya bagaimana orang dapat bertahan dengan hanya RM1,500 sebulan, terutamanya dengan kos sara hidup yang semakin meningkat? Pada pendapat anda, berapa banyak yang boleh mereka sumbangkan kepada simpanan persaraan mereka? Apakah masa depan mereka?

Kehancuran alam sekitar

Kerajaan baharu kita berdepan pelbagai isu alam sekitar untuk ditangani: banjirtanah runtuh, perlombongan pasir haram, penebangan hutan serta pembangunan berlebihan, terutamanya di lereng bukit.

Satu artikel baru-baru ini membongkar rancangan untuk “menebang dan menanam semula hutan” di hutan simpan Kledang Saiong di Perak.

Jabatan Alam Sekitar ada mengeluarkan draf laporan penilaian impak alam sekitar pada Disember 2022 untuk cadangan penanaman hutan di 4,280 hektar (kira-kira 6,000 padang bola) dalam hutan simpan untuk maklum balas orang ramai.

Matlamat utama projek itu nampaknya adalah “untuk memastikan bekalan kayu yang mencukupi dan berterusan bagi industri berasaskan kayu tempatan dan luar negara”.

Projek gergasi ini menimbulkan pelbagai kebimbangan: hakisan tanah, kelodak di sungai berhampiran, risiko banjir di kampung berhampiran, kesan ke atas Orang Asli di kawasan itu (di Bukit Chermin) serta kehilangan biodiversiti secara besar-besaran di kawasan itu.

Ketika berlakunya krisis iklim ini serta apa yang kita sudah saksikan dengan pembersihan tanah yang berskala besar ini, apakah ini yang perlu dilakukan oleh negara? Siapa sebenarnya yang mendapat manfaat daripada projek seperti ini?

Kerajaan dibebani dengan pelbagai tugas. Setiap langkahnya akan diperhatikan penuh teliti. Semoga slogan “Malaysia Madani” (Madani merupakan akronim untuk kelestarian, penjagaan dan belas kasihan, hormat-menghormati, inovasi, kemakmuran dan amanah) tidak hanya menjadi slogan kosong.

Sementara itu, kita sebagai rakyat harus sedar peranan yang boleh dimainkan oleh setiap daripada kita untuk membawa pembaharuan yang diperlukan oleh negara.

Mari juga kita sama-sama mengingati mereka yang terjejas oleh gempa bumi Turki-Syria, yang telah menyebabkan 46,000 orang maut dan ia semakin bertambah. Penderitaan dan kemusnahan yang terjadi tidak dapat dibayangkan. Syukur kerajaan Malaysia juga ada menghantar sokongan kepada kedua-dua negara. Jika anda mampu, sila derma kepada tabung bantuan kecemasan gempa Mercy Malaysia Türkiye 2023 melalui: MERCY Humanitarian Fund, MBB 5621 7950 4126, Swift code: MBBEMYKL.

Beberapa hari sudah berlalu, dan kita melihat tangan manusia, daripada kerajaan serta pasukan penyelamat yang berbeza dari seluruh dunia, terus menghulurkan bantuan bagi menyokong, menyelamat dan memenangkan mangsa.

Dalam mengutamakan soal kemanusiaan inilah, kita dapat mencari jalan ke hadapan.

Prema Devaraj
Editor bersama, surat berita Aliran
20 Februari 2023

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

 


No comments: