UMNO PATUT HENTI BANTU KEMPEN KJ DI SUNGAI BULOH

 

Sejak mengumumkan dirinya ingin menjadi Perdana Menteri dan mengetuai UMNO suatu hari nanti, Khairy Jamaluddin nampaknya terus menunjukkan keangkuhannya.

Kali ini beliau secara terbuka juga mendakwa UMNO sebagai parti yang sudah sesat dan perlu dibawa kembali ke pangkal jalan.

Beliau turut mendakwa, ramai yang tidak berkenan dengan UMNO adalah disebabkan sikap segelintir pemimpinnya yang ada sekarang ini.

Katanya, perkara pertama yang mahu dilakukannya jika memenangi Sungai Buloh, selain memastikan Ismail Sabri Yaakob kembali menjadi Perdana Menteri ialah untuk menjadikan UMNO menjadi wadah perjuangan yang boleh dibanggakan orang Melayu seperti satu ketika dulu.

“UMNO (kini) dah sesat, dan kena kembali ke pangkal jalan. Kena ‘fix’ (perbaiki) balik UMNO ni lagi, perbetulkan UMNO. Dan saya bukan ‘yes man’.

“Pertama, saya nak menang pilihan raya ini, nak pastikan Ismail Sabri kembali menjadi Perdana Menteri, selepas itu kita bersihkan balik UMNO dan BN, kita cuci balik.

“Saya seorang reformis dalam UMNO, tak boleh kunci mulut, sebab itu (agaknya) saya dihantar ke Sungai Buloh,” kata bekas Ahli Parlimen Rembau itu sebagaimana dilaporkan Astro Awani.

Beliau yang merupakan Menteri Kesihatan sementara berkata demikian ketika berucap pada Majlis Silaturrahim bersama Pertubuhan Amal Kebajikan Agama dan Masyarakat (Perakam) di Kelab Rahman Putra malam tadi.

Dengan mengeluarkan kenyataan seperti itu, Khairy atau KJ seolah-olah terlupa bahawa sekarang ini adalah musim kempen pilihan raya, bukannya pemilihan UMNO.

Dalam kempen pilihan raya, beliau tidak seharusnya mengutuk parti dan pemimpinnya sendiri, sebaliknya harus meyakinkan pengundi untuk memberi undi kepadanya.

Kalau mahu mengutuk pemimpin sendiri, tunggulah pemilihan UMNO nanti.

Soalnya, bolehkah pengundi memberi undi kepadanya, sedangkan beliau sendiri mengutuk pemimpin dan partinya sendiri?

Apakah KJ kini dalam keadaan terlalu teruja dengan sambutan yang diterimanya sejak mengumumkan mahu menjadi Perdana Menteri, lalu merasakannya dirinya bebas mengutuk parti dan pemimpin UMNO secara terbuka?

Kalau benar UMNO itu sudah sesat, kenapa KJ sendiri masih mahu bertanding mewakili UMNO atas tiket BN di Sungai Buloh ini?

Tidakkah dengan bertanding atas tiket parti yang didakwanya sesat, ia bermakna beliau sendiri telah sesat?

Apakah calon dan parti yang telah sesat perlu diberi undi untuk menjadi Ahli Parlimen?

Jika benar UMNO juga telah sesat, kenapa KJ tidak berani menyertai parti lain atau bertanding saja atas tiket Bebas?

Mengapa masih mahu bertanding atas tiket BN dan mewakili UMNO yang didakwanya sesat itu?

Apa pun, dengan kenyataannya bahawa UMNO itu sudah sesat itu, KJ sebenarnya telah melakukan sesuatu yang tidak wajar dan keangkuhan yang keterlaluan di ketika parti terus memberinya peluang bertanding lagi.

Sebagai pengajaran kepadanya, UMNO secara total harus serta-merta berhenti membantu kempen KJ di Sungai Buloh.

Pemimpin-pemimpin utama UMNO dan BN juga tidak harus lagi datang ke Sungai Buloh untuk membantunya.

Sikap dan perangai seperti yang ditunjukkan KJ itu bukan saja tidak seharusnya ada di dalam UMNO yang sedang berjuang mencari kemenangan dalam ibu segala PRU ketika ini, malah juga pasti tidak diperlukan dalam persatuan penduduk kampung setinggan sekali pun.

UMNO mesti memberi pengajaran kepadanya dalam PRU15 ini. – ShahbudinHusin 12/11/2022.



No comments: