Menang dulu baru bincang kerjasama politik dengan GPS, kata Anwar

 -


Selain urus tadbir yang baik, kata Anwar Ibrahim, PH menawarkan kepada rakyat Sarawak untuk mengekalkan agenda keadilan, kepelbagaian kaum dan agama. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan harapan (PH), Anwar Ibrahim berkata, sebarang perbincangan berkaitan kerjasama politik termasuk dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) hanya akan diadakan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Kata Anwar, fokus utama PH ketika ini adalah memenangi pilihan raya umum pada 19 Nov ini.

Beliau juga menggesa rakyat Sarawak memberi sokongan kuat kepada calon PH dalam PRU15 supaya mereka boleh bekerjasama sebagai satu pasukan “negeri- persekutuan” bagi mempertahankan kepentingan penduduk di negeri itu.

“Ketika ini kita perlukan wakil PH yang kuat di Sarawak dan Sabah. Kita perlukan ini supaya kita boleh mendapat pandangan di akar umbi di kedua-dua negeri,” katanya dalam sidang media.

Anwar juga memberi penekanan terhadap kepentingan pengagihan atau penurunan kuasa antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk memperkasakan negara.

Katanya, Putrajaya harus menghormati Sabah dan Sarawak serta membiarkan mereka menangani isu seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur asas kerana kedua-dua negeri itu memahami keperluan penduduk mereka sendiri.

Bagaimanapun, kata Anwar, penurunan kuasa adalah berasaskan terma dan syarat yang jelas bagi mengelak pembaziran dan rasuah.

“Ketika ini terlalu banyak kuasa diberikan golongan elit dan Sarawak tidak terkecuali. Ada ahli politik yang mengayakan diri mereka dengan menggunakan wang rakyat.

“Atas sebab itu, kerjasama antara persekutuan dengan kerajaan negeri adalah penting,” katanya.

Selain urus tadbir yang baik, tambah Anwar, PH menawarkan kepada rakyat Sarawak untuk mengekalkan agenda keadilan, kepelbagaian kaum dan agama.

“Ini adalah pilihan raya yang penting dan kritikal untuk menentukan landskap politik negara.

“Ini adalah satu pilihan sama ada mahu sifat perkauman diteruskan di negara ini. Sebagai contoh, menggunakan kaum untuk mendapatkan sokongan Melayu luar bandar oleh Perikatan Nasional (PN) dengan PAS di dalamnya yang mengatakan siapa tidak menyokong mereka akan masuk neraka,” katanya.

Anwar berkata, PH memberi komitmen untuk menyelesaikan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tanpa banyak rundingan.

No comments: