PERCAYALAH…OLEH KERANA MAHIADDIN BUKAN LAGI PM, HADI AKAN BAWA PAS KELUAR PN UNTUK BERSAMA PARTI ‘ITIK PATAH KAKI’


Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi akhirnya mendedahkan pertemuan beliau dengan Hadi Awang berlaku kerana Presiden Pas itu datang menemui beliau di kediamannya.

Kata beliau, Hadi telah datang ke kediamannya pada 17 September lalu.

Dalam erti kata, pertemuan itu berlangsung adalah disebabkan Hadi yang ingin bertemu Zahid Hamidi, bukannya Presiden UMNO mahu bertemu Presiden Pas itu.

Jika Zahid Hamidi yang ingin bertemu Hadi, pertemuan itu tentulah berlaku di tempat pilihan Hadi dan bukan di kediaman Zahid Hamidi.

Di sebalik Hadi sebelum ini pernah menggelar UMNO sebagai itik patah kaki, beliau kini nampaknya sanggup menebalkan muka datang menemui Zahid Hamidi sambil menghulurkan tangan untuk bekerjasama semula bagi menghadapi PRU15 akan datang.

Jika dahulu beliau membawa keluar Pas daripada MN melalui pintu belakang dan secara senyap-senyap semata-mata untuk menyertai PN, sekarang secara senyap-senyap juga beliau bertemu Zahid Hamidi tanpa pengetahuan PN.

Tidaklah sukar untuk menjangka bahawa Hadi bertemu Zahid Hamidi itu adalah petunjuk kecenderungan Pas yang sudah tidak tertahan lagi untuk keluar dan meninggalkan PN.

Kenapa semua ini berlaku?

Tidak lain sebabnya ialah kerana Mahiaddin Md Yasin yang merupakan Presiden Bersatu dan Pengerusi PN bukan lagi Perdana Menteri sekarang ini.

Kalaulah Mahiaddin masih lagi Perdana Menteri, bukan saja UMNO akan kekal dilabelnya sebagai itik patah kaki atau macam-macam label buruk yang lain, malah tentulah mustahil beliau sanggup mencari Zahid Hamidi untuk bertemu bagi membincangkan soal kerjasama.

Di sini jelas bahawa Pas adalah parti yang tak boleh pakai, tiada kesetiaan dan hanya memikirkan kelangsungan nikmat berjawatan dalam kerajaan, termasuk jawatan yang tak payah buat kerja dan hanya makan gaji buta.

Kemaruknya Pas kepada jawatan dan kedudukan dalam kerajaan boleh kata mengalahkan penganggur yang sudah berpuluh tahun tidak beroleh pekerjaan.

Tetapi, huluran tangan Pas kepada UMNO untuk bekerjasama itu tidaklah mudah disambut begitu saja kerana Zahid Hamidi tentulah tidak lupa semua kecurangan serta ketidaksetiaan Pas ketika berada dalam MN sebelum ini.

Sebab itu, beliau meletakkan tiga syarat jika Pas ingin bekerjasama semula dengan UMNO

Tiga syarat tersebut ialah Pas mesti keluar daripada PN, memutuskan semua hubungan dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi berpisah sepenuhnya dengan Bersatu dan PN.

Sanggupkah Hadi memenuhi tiga syarat itu?

Sekali pandang, memang terlihat syarat-syarat tersebut amat berat untuk Pas penuhi.

Ada pula yang berkata, tidak mungkin Pas sanggup meninggalkan Mahiaddin yang begitu berjasa besar kerana beliaulah yang mula-mula membawa parti itu ke dalam kerajaan, melantiknya sebagai duta dan mencadangkan gelaran Tan Sri kepadanya.

Tetapi benarkah Hadi begitu teguh jiwa dan pendiriannya?

Dalam hal ini, percayalah bahawa keutamaan Pas sekarang ialah untuk kekal dalam kerajaan serta memenangi sebanyak mungkin kerusi wakil rakyat.

Maka, demi ingin kekal menikmati kedudukan dalam kerajaan dan keseronokan berjawatan dengan gaji lumayan itu, adalah dijangka pilihan akhir Pas ialah meninggalkan Bersatu dan PN untuk memilih bersama UMNO semula.

Pas kini sedar BN yang ditunjangi UMNO lebih mempunyai harapan dan peluang membentuk kerajaan berbanding Bersatu dan PN.

Hanya dengan menumpang kekuatan UMNO dan BN sajalah Pas dapat mengekalkan kenikmatan hidup dunia yang tidak pernah mereka rasai sebelum ini.

Dengan bersama Bersatu dan PN, Pas sedar nikmat dunia mereka bakal terlepas begitu saja.

Sampai hatikah Pas meninggalkan Mahiaddin, Bersatu dan keluar daripada PN?

Jangan risau tuan-tuan – Pas sentiasa ada dalil, siap dengan hadis-hadis pilihan sekali untuk menghalalkan tindakannya itu dan mereka akan terus mendabik dada mengatakan pilihan yang dibuat adalah betul dan selari dengan tuntutan Islam. – ShahbudinHusin 03/09/2022.


No comments:

(function() { var d = document, w = window; w

PH-BN AKAN JADI GABUNGAN BESAR – ZAHID HAMIDI

  Kerajaan Perpaduan dibentuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) diyakini terus menjadi gabungan besar yang tidak akan berakhir ...