Konsert depan Masjid Zahir- Takkan jawapan kerajaan negeri dan pihak berkuasa asyik kesal, kesal dan kesal memanjang



By MOHD ALI HASHIM / October 3, 2022

Memalukan. Itu saja yang dapat dizahirkan apabila konsert hiburan diadakan di dataran berhadapan Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah.

Lebih menyedihkan apabila konsert yang diadakan berhadapan dengan masjid tersebut juga menempatkan Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah di belakangnya dan ia memberi imej buruk kepada kedua-dua institusi yang ternyata tidak mampu menyekat kewujudan program sedemikian.

Festival usahawan muda-mudi yang dinamakan ‘Muda Mudi Weekend Fest’ diadakan di tapak Balai Seni pada Jumaat 30 September hingga Sabtu 1 Oktober 2022 mulai jam 12 tengahari hingga 12 tengah malam.


 



Festival tersebut juga turut mendapat kebenaran menganjur dari pihak polis, Majlis Bandaraya Alor Setar serta Pejabat Daerah Kota Setar.

Penganjur bersama ialah Collective Biggy dengan kerjasama Balai Seni Alor Setar, dengan pengisian pasar kopi sehari, demonstrasi ‘little art’, OSBMX Show Bike Competition serta persembahan dari artis tempatan.

Manakala artis yang terlibat dalam surat kebenaran adalah kumpulan The Highbiscus Gerhans Skacinta, Naratu, Joe (Purevibracion) dan DJ Alakazam X Dj Slick Z.

Timbalan Pengerusi AMANAH Negeri Kedah, Dato Dr Ismail Salleh ketika dihubungi berkata, kerajaan negeri Kedah serta agensi pihak berkuasa yang terlibat tidak sepatutnya menzahirkan ‘kesal, kesal dan kesal’ setiap kali berlakunya insiden yang memalukan seperti ini.

Malah kata beliau, baru saja isu pertunjukan fesyen, tunjuk ‘body’ buka aurat dan pelbagai program memalukan negeri Kedah berlalu, tapi hanya luahan ‘kesal aja’ yang mampu dizahirkan oleh kerajaan negeri maupun pihak berkuasa yang terlibat, sebaliknya tiada tindakan drastik yang diambil.

Sehubungan itu ujar beliau, jelas terbukti Kedah bukan saja tercalar imejnya, tetapi juga amat memalukan apabila kerajaan negeri yang didakwa memperjuangkan imej Islam, kaku dan layu tidak bermaya serta longlai tanpa hala tuju.

No comments: