Nak tunjuk hero kena fikir jauh ke hadapan


NIK HASYUDEEN


Nak tunjuk hero kena fikir jauh ke hadapan

Di dalam tahun 2013, daerah di persekitaran New York telah dilanda taufan Sandy. Bagi memberi bantuan kewangan kepada daerah berkenaan, peruntukan kewangan perlu diluluskan oleh Dewan Perwakilan Amerika.

Ron De Santis yang ketika itu adalah ahli perwakilan muda dari parti Republikan tidak bersetuju. Menurut beliau, walaupun beliau kesian dengan apa yang dihadapi oleh rakyat di daerah yang terlibat, memberi pertolongan dengan batuan kewangan menyebabkan “mentaliti kad kredit” di kalangan masyarat. Dia bersama Ted Yoho yang merupakan seorang lagi ahli parti Republikan yang konservatif mengundi menentang bantuan dari kerajaan pusat berkenaan.

Sehari dua ini Florida dilanda taufan Ian pula. Ianya meninggalkan kesan yang dasyat. Kehidupan dan ekonomi Florida tidak boleh pulih dengan segera tanpa bantuan dari kerajaan pusat di bawah pentadbiran Joe Bidin. De Santis kini menjadi gabenor Florida. Kali ini dia memohon bantuan dari kerajaan pusat, walaupun dahulu dia menyatakan bantuan seperti itu adalah menteliti kad kredit.

Beberapa minggu sebelum ini, De Santis menghantar pendatang asing dengan kapalterbang ke Martha’s Vineyard di Massachusetts, daerah yang lebih mesra pendatang. Dia berbelanja dalam 12 juta Dollar. Apabila Florida dilanda taufan Ian, isteri De Santis melalui usahanya hanya mampu mengutip derma berjumlah 1.5 juta Dollar sahaja bagi membantu rakyat Florida yang terkesan. Jika De Santis tidak berbelanja duit negeri hanya untuk populariti politik, dia ada dana untuk membantu rakyat yang lebih memerlukan.

Orang-orang politik akan melakukan apa sahaja untuk menjadikan mereka popular di kalangan penyokong-penyokong mereka. Di dalam parti republikan sekarang, jika berlagak hero dan tidak menunjukkan peri kemanusiaan, mereka akan menjadi lagi popular seperti Donald Trump. Seperti biasa mereka akan mengayat penyokong dengan bait-bait manis dan

hebat

sehingga penyokong terlopong kekaguman walaupun apa yang dicakapkan itu dusta.

Di dalam kisah De Santis ini, dia akhirnya kena merayu bagi pihak rakyatnya apabila menjadi gabenor. Menelan prinsip, sekiranya ada, bukanlah satu perkara besar bagi orang-orang seperti De Santis. Silap-silap dia pun mungkin sudah lupa apa yang diperkatakannya dahulu. Walau apa pun, orang-orang seperti ini sentiasa ada alasan untuk menjustifikasian tingkah laku mereka.

Walaupun orang seperti De Santis ini bermasalah, pada pandangan saya yang bodoh politik ni, pengikut dan pengundi beliau lagi bermasalah. Mereka tidak peduli akan perangai dan gelagat orang yang mereka sokong dan undi asalkan kena dengan selera dan nafsu mereka sahaja. Inilah yang menyebabkan pencuri dan perompak pun boleh naik ke atas di dalam politik.

Kita juga kena ingat bahawa kita akan dipertanggungjawabkan ke atas keheroan kita satu masa nanti. Bagi De Santis, Allah pulangkan kepada dia paku buah keras tak sampai 10 tahun pun. Ni belum bab dihisab di akhirat. Bagi orang-orang yang Allah biarkan sehingga ke akhir hayat seperti Firaun, tentunya tak sempat nak bertaubat dan berubah menjadi hamba Allah yang lebih baik.

Sebagai penutup, penyokong-penyokong orang-orang seperti De Santis atau pun yang lebih teruk dari beliau pun kena ingat, walaupun yang diberi hanyalah satu undi, siapa yang berani kata undi itu adalah perkara yang kecil di sisi Allah walaupun diberikan oleh seorang yang tinggal di kampung yang terpencil. Di zaman ini, kita boleh menyelidiki perangai dan gelagat setiap calon. Ada yang turun naik mahkamah, ada yang selalu ponteng mesyuarat. Jadi, sokong dan undilah dengan penuh kesedaran agar kita boleh menjawab hisab Allah SWT dengan yakin.