MENGKRITIK PRESIDEN UMNO LEBIH BERDOSA DARIPADA MENGKRITIK PERDANA MENTERI

 

Tiga pemimpin yang diambil tindakan oleh MT UMNO baru-baru ini secara umumnya hanyalah kerana mereka merupakan pengkritik kepada Presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.

Tajuddin Abdul Rahman, Ketua UMNO merangkap Ahli Parlimen Pasir Salak, sebelumnya adalah penyokong kuat Zahid Hamidi dan berikutan kalah bertanding Naib Presiden UMNO pada pemilihan 2018, beliau dilantik sebagai Ahli MT dan Pengarah Pilihanraya BN.

Tetapi, setelah kecenderungannya beralih arah dan memihak kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob serta mengkritik Zahid Hamidi, semua jawatan politik lantikan yang dipegangnya segera ditarik balik.

Tajuddin secara terbuka pernah mengadakan sidang media mengkritik Zahid Hamidi berhubung kemelut politik semasa, termasuk mengenai sokongan Presiden UMNO itu kepada Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

Penggantungannya selama enam tahun yang diputuskan oleh MT UMNO pada 30 September lalu secara mudahnya adalah tindakan untuk menggugurkannya daripada terus dicalonkan sebagai Ahli Parlimen Pasir Salak.

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Mohd Yusof Ismail yang turut digantung selama enam tahun adalah juga ialah kerana tindakannya yang kerap mengkritik Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, tidak seperti Tajuddin, Mohd Yusof mendakwa, beliau hanya mengkritik Presiden UMNO itu secara tertutup dalam ruang sembang Grup Whatsapp saja.

Mengakui dirinya adalah penyokong kuat Ismail Sabri, ternampak seperti tiada sebab lain Mohd Yusof digantung keahliannya melainkan kerana kritikannya terhadap Zahid Hamidi.

Sama seperti Tajuddin, penggantungan keahlian Mohd Yusof adalah untuk menjadikan beliau tidak layak dipilih sebagai calon mewakili UMNO dan BN dalam PRU15 akan datang.

Bagaimanapun, berbeza dengan Zaharin Md Yasin, seorang Ketua UMNO Cawangan dalam Bahagian Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur yang diketahui kerap mengkritik Zahid Hamidi melalui tulisan dan video di media sosial, beliau sebaliknya dipecat terus keahliannya daripada UMNO.

Zaharin secara berterus-terang mengatakan beliau dipecat adalah kerana kritikannya kepada Zahid Hamidi dan menambah, akan memperhebatkan lagi serangannya setelah bukan lagi merupakan ahli UMNO selepas ini.

Secara mudah untuk difahami, ketiga-tiga mereka yang diambil tindakan oleh MT UMNO pada mesyuarat 30 September lalu adalah kerana dosa mereka mengkritik Presiden UMNO.

Namun, sepertimana kita semua sedia maklum, selain Zahid Hamidi yang menjadi sasaran kritikan ahli UMNO, Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri turut tidak terkecuali menerima nasib yang sama.

Selain melalui tulisan di media sosial, terdapat juga individu tertentu daripada UMNO yang membuat live FB setiap malam untuk mengkritik dan kadang-kadang lebih sesuai dikatakan membalun Perdana Menteri.

Yang peliknya, tidak pernah pun mereka itu diambil tindakan atau sekurang-kurangnya diberi amaran oleh UMNO, walhal Perdana Menteri yang menjaga negara adalah daripada UMNO dan mewakili UMNO.

Kenapa pengkritik Perdana Menteri tidak diambil tindakan oleh UMNO, berbeza dengan pengkritik Presiden UMNO?

Apakah Perdana Menteri daripada UMNO yang menjaga 32 juta rakyat tidak wajar diberi perlindungan oleh parti berbanding Presiden UMNO yang hanya menjaga 3.4 juta ahli?

Apakah mengkritik Presiden UMNO yang hanya menjaga sedikit orang lebih besar dosanya daripada mengkritik Perdana Menteri yang bertanggungjawab menjaga seluruh rakyat negara ini?

Di manakah sebenarnya kemuliaan dan ketinggian institusi Perdana Menteri berbanding institusi Presiden di mata UMNO?

Kalau Perdana Menteri daripada UMNO pun tidak dimuliakan dan ditinggikan darjatnya oleh UMNO, siapa lagi yang diharapkan berbuat demikian?

Apakah jika Perdana Menteri adalah Presiden UMNO, maka hanya pada ketika itu perlindungan seimbang dapat diperolehinya? – ShahbudinHusin 02/09/2022.