Penyatuan
Ummah hanya agenda palsu Pas yang kemaruk kuasa
By NASUHA RAHMAN / October
3, 2022
Penyatuan ummah atau
Muafakat Nasional merupakan agenda yang pernah digunakan untuk bersatu dengan
Umno bagi menjatuhkan Pakatan Harapan (HARAPAN) sudah tidak kedengaran lagi
kerana masing-masing bernafsu dengan pangkat dan jawatan.
Apatah lagi menjelang
pilihan raya umum yang bakal diadakan pada bila-bila masa, Pas terutamanya
semakin bergelut untuk memastikan kedudukannya dalam kerajaan tidak terlepas.
Timbalan Presiden AMANAH Datuk
Seri Salahuddin Ayub menyifatkan Pas akan sanggup mendekati sesiapa sahaja
termasuklah golongan dan pemimpin parti yang sedang dihadapkan ke mahkamah atas
dakwaan rasuah, demi kemaruk kuasa dan jawatan
“Tentulah
ini bercanggah dengan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang
menolak golongan perasuah.
“Tetapi
demi kuasa, Pas tidak peduli semua itu walaupun tindakan ini menjatuhkan maruah
sendiri.
“Demi
kuasa juga, Pas sanggup mencuci segala kekotoran yang pernah dilempar sendiri
oleh Pas sebelum ini terhadap MCA dan Gerakan yang menolak hudud,” katanya
dalam kenyataan.
Katanya, awalnya agenda penyatuan
ummah itu berhasil melalui pengkhianatan Langkah Sheraton, malangnya penyatuan
ummah sudah tidak kedengaran lagi kerana masing-masing bernafsu dengan pangkat
dan jawatan.
Bagi
Salahuddin sepanjang Pas berada dalam kerajaan, tiada pencapaian yang
membanggakan berjaya diraih untuk meninggikan kedudukan dan martabat orang
Melayu dan Islam dalam negara ini.
“Malah
RUU355 yang pernah dijadikan alat untuk PAS melabelkan pihak lain sebagai musuh
Islam juga tidak diperjuangkan.
“Rata-rata
nasib orang Melayu dan Islam di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang ditadbir
Pas juga tidak terbela. Lihatlah apa yang dilakukan oleh Menteri Air dari PAS
terhadap masalah bekalan air bersih di Kelantan.
“Sebaliknya,
lebih banyak kemungkaran dan maksiat yang masih berlaku termasuklah di negeri
yang ditadbir oleh Pas.
“Pas tidak mungkin mampu untuk menjawab dakwaan ini,” ujar beliau..