INI NAMANYA BANDUAN TAK SEDAR DIRI….

 

Berikutan permohonan Najib Razak untuk menghadiri sidang Parlimen ditolak oleh Jabatan Penjara, peguam bekas Perdana Menteri telah menulis surat rayuan kepada Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuiddin bagi memohon pertimbangan selanjutnya.

Peguam Najib itu, Shafee Abdullah dipetik memberi tempoh sehingga jam 12.00 tengahari ini untuk Hamzah memberi jawapan kepada rayuan tersebut.

Sekiranya tidak mendapat jawapan, beliau berkata, tindakan undang-undang akan difailkan bagi membolehkan Najib hadir ke Parlimen.

Kegilaan apakah ini?

Sebagai banduan yang kini merengkok di penjara setelah didapati bersalah oleh sembilan hakim sehingga ke peringkat mahkamah paling tinggi sekali, bukan saja membuat rayuan dan mengambil tindakan mahkamah suatu tindakan yang salah, bahkan memohon untuk hadir ke Parlimen saja pun sudah dikira salah.

Apakah Najib tidak sedar status dirinya sekarang ini?

Sebagai pesalah dan banduan, Najib sepatutnya sedar beliau sekarang ini sudah hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen untuk hadir di Dewan Rakyat.

Menunggu pengampunan diraja dan semakan kehakiman tidak mengubah statusnya sebagai banduan dan boleh menjadikannya seolah-olah seperti rakyat biasa yang bebas dan merdeka.

Beliau hanya boleh hadir ke mahkamah untuk kes perbicaraan saja, itu pun dengan kawalan keselamatan oleh pihak penjara.

Kematian ahli keluarga, acara pengkebumian dan pelbagai kecemasan lain pun tidak boleh dihadiri oleh banduan, melainkan yang kritikal seperti kematian ibu bapa, isteri dan itu pun melalui pertimbangan yang khusus serta tidak semestinya semua banduan wajib diberi pelepasan.

Dalam konteks Najib, apakah hadir ke Parlimen sesuatu yang sangat penting bagi beliau sehingga perlu membuat permohonan, kemudian mengemukakan rayuan setelah ia ditolak dan seterusnya ingin mengambil tindakan undang-undang pula?

Apa yang Najib mahu tunjukkan kepada rakyat dan dunia dengan tindakannnya?

Apakah juga kehadirannya ke Parlimen selama ini 100 peratus sehingga terasa amat bersalah tidak dapat menghadirinya kali ini?

Kalau begitu, apakah semua banduan lain juga boleh membuat permohonan yang sama, misalnya untuk hadir ke majlis anak menerima ijazah, bapa saudara kahwin baru dan majlis sukan anak misalnya?

Dengan status sebagai banduan sekarang ini, bukan saja Parlimen tidak lagi penting baginya, malah Parlimen juga tidak lagi menganggap beliau sebagai penting.

Tolonglah Najib, sedarlah diri sikit!!

Jadi banduan pula bukan kerana kesalahan kecil seperti mencuri telur ayam dan seumpamanya, tetapi kerana kesalahan yang membuatkan negara malu di mata dunia.

Dengan itu, tak payahlah sekarang ini mengada-ngada nak tunjuk baik minta hadir ke Parlimen, konon mahu menunaikan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen.

Segala-galanya sudah tiada erti lagi, duduk diam-diam di penjara dan bermuhasabah atas kesalahan masa lalu jauh lebih bererti sebelum dunia ini ditinggal pergi.

Urusan negara dan berbahas di Parlimen biarlah mereka yang bukan banduan melaksanakannya. – ShahbudinHusin 04/09/2022.