UMNO tak kisah jika PAS enggan keluar PN, sedia gerak solo PRU-15






Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan pada sidang media selepas perjumpaan dengan pemimpin bahagian dan sayap parti itu di ibu negara hari ini (4 Oktober 2022).

 

UMNO mengulangi pendirian terhadap syarat yang dikenakan kepada PAS sekiranya ingin bekerjasama, namun bersedia bergerak solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekiranya parti Islam itu enggan meninggalkan Perikatan Nasional (PN).

Serentak itu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta PAS menyatakan pendirian berhubung perkara berkenaan dengan secepat mungkin.

Zahid mengesahkan beliau bertemu dengan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dan berbincang mengenai beberapa perkara dasar, sebelum membentangkannya kepada biro politik dan Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

“Keputusan MT ialah mengabsahkan jika PAS mahu bersama-sama dengan kita (UMNO) setelah memenuhi syarat-syarat yang telah kita tetapkan.

“Tanpa memenuhi syarat-syarat itu maka kami (UMNO) akan bergerak secara solo. Bukan kami terlalu yakin tetapi kami yakin bahawa selepas mereka tentukan, kita mesti bergerak mengikut kaedah-kaedah peperangan bagi menghadapi pilihan raya. Secara tersendiri.

“Tetapi jika mereka mahu bersama-sama dengan UMNO dan BN (Barisan Nasional) mereka bebas untuk menggunakan lambang parti mereka, tetapi kita boleh bertoleransi untuk menjalin kebersamaan jentera bagi menghadapi pilihan raya,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung selepas perjumpaan dengan pemimpin UMNO bahagian dan sayap parti di Menara dato Onn hari ini (4 Oktober 2022).

Pada 2 Oktober lalu, Zahid berkata UMNO meletakkan tiga syarat kepada PAS dalam memperkukuh kerjasama rasmi antara dua parti itu bagi menghadapi PRU-15.

Tiga syarat berkenaan ialah:

  • PAS perlu keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN);
  • Memutuskan hubungan politik dengan Bersatu; dan
  • Mengisytiharkan secara rasmi ‘mufaraqah’ berkenaan dan bukan hanya sekadar retorik politik.

Zahid berkata syarat itu telah disampaikan kepada Abdul Hadi dalam pertemuan baru-baru ini.

Pada sidang media sama, Pengerusi BN itu berkata beliau telah dimaklumkan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi jaminan akan menyokong semua calon-calon BN di negeri itu.

“Kami menghargainya dan semoga perkara ini dapat direalisasikan dalam makna yang sebenar apabila tiba masanya,” katanya.

Untuk rekod, GRS adalah gabungan yang dianggotai Bersatu, PBS, SAPP, STAR, dan USNO.

Bersatu, STAR dan SAPP pula adalah anggota gabungan PN. Ketua Menteri Sabah sekarang adalah Datuk Seri Hajiji Noor daripada Bersatu.

Sementara itu, Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata BN akan membuat keputusan berhubung permohonan beberapa parti baharu untuk menjadi anggota komponennya.

Beliau juga berkata Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak selepas mendapat mandat dari Jemaah Menteri bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi penentuan tarikh pembubaran Parlimen.

Spekulasi bahawa PRU-15 akan diadakan tahun ini mendapat momentum berikutan pengesahan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis, 6 Oktober 2022.

 





No comments: