Agong yang tentukan PRU 15, bukan Umno
Pemimpin tertinggi Umno secara tidak bertanggungjawab membayangkan mereka mempunyai kuasa memutuskan bilakah Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 wajib diadakan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim membidas pendapat yang hanya berpihak kepada Perdana Menteri (PM) Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan tidak mengambil kira peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai kuasa pemutus terakhir.
“Top 5 Umno tidak ada kuasa perundangan untuk menekan PM Ismail Sabri membubarkan Parlimen bagi diadakan PRU dalam keadaan Malaysia diancam banjir monson tengkujuh.
“Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Pontian pula tidak bertanggungjawab kerana hanya menyebut Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu Agong mesti bertindak atas nasihat Perdana Menteri.
“Ahmad Maslan cuba menyembunyikan fakta Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa budibicara kepada Agong untuk bersetuju atau menolak permohonan PM untuk membubarkan Parlimen di bawah Perkara 40(2)(b).
“Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan,” kata Hassan mengingatkan.
Anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Kebebasan Asasi dan Hak-Hak di Bawah Perlembagaan itu juga menegaskan, kuasa budibicara Yang diPertuan Agong di bawah Perkara 40 (2)(b) tersebut disediakan di bawah Perlembagaan untuk menjamin Parlimen Malaysia tidak dibubarkan dengan mudah oleh parti politik berkuasa
“Kuasa budibicara Agong di bawah Perkara 40 (2)(b) ini menjamin Parlimen Malaysia tidak dibubarkan secara sesuka hati
“Ini adalah satu jaminan Perlembagaan Persekutuan supaya negara Malaysia ini tidak jatuh ke tangan kuasa ologarki seperti Top 5 Umno yang Presidennya sedang menghadapi pertuduhan Rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di mana keputusan di akhir kes pembelaan dijangka akan disampaikan pada bulan Disember tahun 2022 ini,” katanya.
Justeru, Hassan membidas Top 5 yang mahukan pilihan raya hujung tahun ini tidak mempedulikan kesensaraan rakyat menghadapi musim tengkujuh, banjir atau kegawatan ekonomi.
“Mereka hanya mementingkan usaha merebut kuasa.
“Ini satu penyalahgunaan kuasa oleh PM sekiranya Ismail Sabri takut dan tunduk kepada oligarki Umno.
“Malaysia yang demokrasi mesti diselamatkan dari golongan oligarki Umno yang fasis,” tegasnya.
Malaysia pernah menyaksikan Agong menolak permintaan PM membubarkan Parlimen pada Ogos lalu apabila Mahiaddin Yassin kehilangan majoriti di Dewan Rakyat meminta diadakan pilihan raya awal.
Alasan yang digunakan ketika itu kerana pandemik Covid 19 yang belum reda. Tidak mustahil juga permintaan Ismail ditolak kerana rakyat sedang menghadapi musibah banjir.