Rapat Mega KEADILAN bermula, bariskan pimpinan baharu, gempur Gombak, Ampang




 

 

KEADILAN akan menganjurkan Rapat Mega KEADILAN mulai Ahad, 11 September ini sehingga ke tarikh Pilihan Raya Umum ke 15.



Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Pusat, Fahmi Fadzil, himpunan tersebut akan diadakan di tapak bazar Ramadan Taman Melawati, Selangor dan bertujuan untuk mengundang rakyat dari beberapa kawasan parlimen berhampiran untuk mendengar kupasan isu semasa daripada anggota pimpinan KEADILAN yang baharu.



"Program rapat mega ini akan menonjolkan saf kepimpinan baharu dan saf kepimpinan utama, termasuk Datuk Seri Anwar presiden parti, Rafizi Ramli timbalan presiden parti, naib presiden, setiausaha agung dan kita meneruskan amalan seperti di program konvesyen pilihanraya yang baru lalu, mengangkat suara rakyat yang kita kenal pasti dalam beberapa sektor atau bidang yang perlu kita tonjolkan dalam isu yang dihadapi rakyat



"Rapat ini adalah siri usaha KEADILAN selepas saf kepimpinan baharu dipilih dan dilantik untuk mengukuhkan jentera dan anggota sama ada di peringkat pusat, Ranting, Cabang atau di peringkat akar umbi. Kita akan saksikan siri rapat mega yang akan diadakan di negeri lain selepas ini.



"Kita mulakan di Selangor dan kita anggap ini satu usaha untuk menggempur parlimen Gombak serta Ampang terutamanya dan beberapa parlimen berdekatan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya.



Dianggarkan, kata Fahmi, 3,000 hadirin akan datang untuk mendengar ceramah berkenaan dan KEADILAN menyasarkan penglibatan lebih ramai penyokong atau golongan Atas Pagar untuk hadir.



"Dia tidak hanya mensasarkan anggota parti tetapi juga orang ramai.



"Saya percaya dalam minggu dan bulan akan datang, beberapa program utama akan kita saksikan," katanya.

 

Dalam pada itu, Pengarah Mobilisasi KEADILAN Pusat, Yahya Sahri pula berkata program berkenaan akan disekalikan dengan jualan ehsan barang keperluan harian yang disubsidikan harganya oleh kerajaan Selangor, sebagaimana pengumuman Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada malam hari Merdeka lalu.



"Bukan sekadar ceramah, kita jemput orang ramai hadir di Taman Melawati untuk jualan ehsan negeri Selangor sebagaimana dilancarkan oleh MB Selangor.



"Kita mula jualan pukul 6.00 sampai malam. Kita jemput orang ramai dari Setiawangsa, Wangsa Maju, Ampang, Pandan dan Gombak bersama kita.



"Inilah parti yang bukan sekadar bercakap tetapi berikan tempat untuk menyelesaikan masalah (inflasi)," katanya.



Yahya dalam pada itu mengajak rakyat turun beramai ramai untuk kembali memenuhkan program ceramah yang telah lama tidak dianjurkan sejak pendemik Covid 19 lalu.



"Kalau dulunya tiap tiap minggu kita ada ceramah, sekarang dah ada media sosial ceramah kurang. Jadi kita jadikan rapat mega ini sebagai pencetus untuk mengadakan ceramah di peringkat negeri dan akan mengerakkan ceramah di peringkat Cabang serta Ranting," katanya lagi.



Rapat Mega KEADILAN akan diadakan di tapak Bazar Ramadan Taman Melawati, parlimen Gombak pada 11 September ini. Program bermula pada pukul 6.00 petang hingga 12 malam.

Sidang media tersebut turut dihadiri Ketua Penernagan KEADILAN Selangor, Halimey Abu Bakar, Timbalan Ketua Penerangan Chua Wei Kiat dan Timbalan Biro Mobilisasi David Cheong.

 

No comments: