‘TAK LOGIK ZAHID HAMIDI TERIMA SUMBANGAN POLITIK SETIAP BULAN SELAMA 4 TAHUN’

 Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku penjawat awam iaitu Menteri Dalam Negeri, tidak boleh menerima sumbangan wang atau barangan berharga mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata tindakan Ahmad Zahid menerima sumbangan seperti mempermainkan undang-undang sedia ada.

Beliau seorang penjawat awam, lihat beliau sebagai penjawat awam, lihat beliau sebagai pegawai badan awam dan jangan lihat sebagai ahli politik.

“Beliau mungkin ahli politik Yang Arif tetapi pada masa itu, beliau memegang jawatan menteri, gajinya dibayar kerajaan, menggunakan wang pembayar cukai. Beliau dibayar untuk berkhidmat kepada orang ramai,” kata Raja Rozela dalam hujahannya di akhir kes pendakwaan. 

Seksyen 165 Kanun Keseksaan menyatakan penjawat awam menerima apa-apa benda yang berharga, dengan tiada balasan, daripada orang yang ada kena mengena dalam apa-apa prosiding atau urusan yang dijalankan oleh penjawat awam itu.

Raja Rozela berhujah undang-undang sedia ada seperti Seksyen 165, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Akta Cukai tidak mengiktiraf sumbangan politik kepada individu atas kapasitinya sebagai penjawat awam.

Beliau berhujah adalah tidak logik untuk Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) membuat bayaran bulanan kepada Ahmad Zahid dalam tempoh empat tahun semasa beliau menjadi Menteri Dalam Negeri.

“Jika ia adalah sumbangan politik, ia tidak sepatutnya buat begitu. Sepatutnya bayaran sekali sahaja.

“Tetapi, dalam kes ini, ia dibuat setiap bulan selama empat tahun. Mereka bayar kepadanya, bukan kepada UMNO,” katanya.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN) serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.


No comments: