HANG KATA TAK DAK KERJA DAN BOSAN ???- ELOK PE MENELAAH KITAB MANA YANG SESUAI. NAK PUJUK DAN PEKENA ANWAR SEMULA KOT ..

 


Tun M mudah bosan kalau tiada kerja



Astro Awani
Tun M mudah bosan kalau tiada kerja
Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah tolak permintaan pihak yang mahu bertemu dengannya termasuk pada hujung minggu.
PUTRAJAYA: Sepanjang 97 tahun hidup, Tun Dr Mahathir Mohamad menghabiskan lebih 80 peratus daripada perjalanan hidupnya dengan bekerja.
Selain profesion terawal beliau sebagai doktor, Dr Mahathir memperuntukkan masa yang berkali ganda lamanya di gelanggang politik.
Dari detik awal menjadi ahli politik sehingga ke hari ini, tiada hari yang Dr Mahathir tidak memikirkan mengenai kerja.
“Saya berasa bosan kalau tidak ada kerja nak buat. Saya nak buat kerja dan banyak masalah yang dikemukakan kepada saya yang perlu saya cari cara mengatasi masalah-masalah itu,” itu jawapan bekas Perdana Menteri Malaysia sebanyak dua kali kepada Astro AWANI ketika ditanya mengenai pengorbanan beliau berkhidmat kepada rakyat dan negara.
Eksklusif bersama Tun Dr Mahathir Mohamad
Dalam wawancara eksklusif yang dikendalikan Editor Saharudin Musthafa dan wartawan Faye Kwan sempena ulang tahun kelahiran ke-97 negarawan ulung itu, Dr Mahathir menjelaskan, beliau juga tidak mempunyai sebarang halangan untuk memenuhi permintaan banyak pihak yang mahu bertemu dan meminta buah fikirannya.
Bahkan, jelas veteran politik itu, ada masanya setiap hari beliau akan mengadakan pertemuan dengan orang-orang yang berbeza.
“Kadang-kadang hari Sabtu, Ahad pun mereka datang. Saya tidak pernah tolak. Tapi kadang-kadang masa tidak mengizinkan, permintaan terlalu banyak, jadi saya tak ada masa (untuk berjumpa) sehinggakan saya terpaksa tunda sehingga ada masa lapang,” katanya lagi.
Bekerja, berfikir, mencari jalan menyelesaikan masalah dan membaca kepada Dr Mahathir adalah rutin yang tidak akan berhenti dilakukannnya.
Dalam kesibukan meneruskan kerja-kerja yang belum selesai, Dr Mahathir berkata, beliau masih mempunyai ruang waktu rehat.
Sementelah pada usia hari ini, beliau sangat senang untuk mendapatkan rehat sekiranya diperlukan atau ketika tidak memerlukannya.
“Saya mudah rehat, umpamanya saya boleh tidur dalam kereta, saya boleh tidur dalam kapal terbang dan kalau saya nak tidur di mana-mana (sekalipun), saya tak perlu baring di atas katil., duduk pun boleh pejam mata. Itu (konsep) rehat bagi saya. Tapi di masa yang lain antara waktu lapang yang ada saya ingin buat kerja,” jelasnya.
Rekod perjalanan politik Dr Mahathir menjangkau pemikiran sebilangan besar daripada kita kerana beliau merakamkan sejarah sebagai pemimpin yang dua kali menjadi Perdana Menteri negara.
Kali pertama, Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri ialah pada 1981 hingga 2003 dan sekali lagi terpilih sebagai peneraju negara pada 2018 hingga 2020.
Ketika menjadi Perdana Menteri kali kedua, Dr Mahathir muncul sebagai pemimpin tertua di dunia pada usia 94 tahun ketika itu.
Semasa mentadbir negara ketika kali pertama menjadi ketua negara, Dr Mahathir telah membangunkan Malaysia sehingga menjadi tumpuan di mata dunia.
Sebagai arkitek pemodenan, banyak projek mega yang diusahakannya termasuk menara berkembar Petronas, Lebuh Raya Utara Selatan, Jambatan Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya serta banyak lagi.
Pun begitu, masih banyak idea dan perancangan serta usaha yang tegas Dr Mahathir, boleh dilakukan di negara ini.
Malaysia, kata beliau, mempunyai banyak sumber serta peluang yang boleh diteroka lagi.
“Saya dapati banyak benda yang kita boleh buat. Negara kita ini negara yang bahagia, mempunyai banyak potensi. Tetapi kalau kita ada banyak potensi pun kalau kita tidak tahu macam mana nak guna potensi itu, negara kita tidak akan maju.
“Macam saya selalu cerita, kalaupun ada bijih emas dalam tanah, kalau kita tidak gali, mengeluarkan bijih itu menjadi emas, kita tak kaya. Negara kita ini macam satu lombong, banyak peluang ada tapi bagi orang yang tidak tahu nak guna peluang itu, dia tinggal begitu sahajalah,” kata Dr Mahathir menyambung perbualan.
Dan selepas merancang dan melaksana segala projek mega serta perubahan dan kemajuan dalam segenap sudut pembangunan negara, bagi beliau, tidak perlu disebut mengenai Legasi Mahathir.
Berkali-kali sudah ditegaskan Dr Mahathir, jangan sesekali mengenang atau memberi penghormatan kepadanya dengan menamakan apa sahaja institusi, jalan atau mana-mana tempat dengan namanya.
“Apabila kamu meninggal dunia, manusia akan mempunyai sisi pandangan yang berbeza mengenai kamu. Pandangan mereka akan berubah mengikut perasaan mereka, sebetulnya saya tidak pernah peduli apa yang orang lain fikirkan.
“Mereka boleh saja berkata saya diktator, mengamalkan rasuah dan sebagainya. Pada saya, saya sangat berpuas hati sekiranya saya telah lakukan sesuatu yang baik pada diri saya,” ujar Dr Mahathir yang pernah muncul sebagai pemimpin Asia yang disegani di seluruh dunia.

No comments: