GILA DULU DAN GILA SEKARANG

 




A.KADIR JASIN


Gila Dulu dan Sekarang

1. Dulu mudah. Orang tidak siuman atau kurang siuman dipanggil orang gila. Ada juga disebut kes mental.

2. Orang gila yang bercakap sendiri, berpakaian koyak-rabak dan berjalan ke hulu hilir tanpa membahayakan orang ramai, dibiarkan begitu saja.

3. Yang gila sekali-sekala, macam gila meroyan, akan dikurung di dalam rumah apabila terjadi kegilaannya. Kalau tidak terkawal juga, akan diikat pada tiang rumah.

4. Yang betul-betul teruk dan membahayakan orang ramai barulah dihantar ke rumah sakit otak atau hospital gila.

5. Saya dah tak ingat bila, tapi lama-kelamaan istilah macam orang gila, rumah sakit otak dan hospital gila tidak dibenarkan lagi.

6. Sebelum istilah dan nama macam itu dihentikan penggunaannya, semua orang tahu ada dua buah hospital sakit mental atau hospital gila di Semenanjung Tanah Melayu, iaitu di Tanjong Rambut, Perak dan Tampoi, Johor.

7. Tidak tahulah pasal apa penjajah Inggeris mendirikan hospital itu di Perak pada 1910 dan Johor 1915. Boleh jadi kerana pentadbiran kolonial mempunyai kepentingan ekonomi yang besar di kedua-dua buah negeri itu dan mereka mendapati ada banyak orang gila.

8. Sekarang hospital psikiatri Tanjong Rambutan dikenali sebagai Hospital Bahagia Ulu Kinta dan hospital psikiatri Tampoi ditukar menjadi Hospital Permai. Terpulanglah kepada masing-masing memberi erti kepada apa yang dimaksudkan dengan bahagia dan permai itu.

9. Banyak laporan mengatakan semakin ramai penduduk Malaysia mengalami masalah psikiatri sehingga membawa kemudaratan kepada diri sendiri dan orang sekeliling mereka.

10. Tapi saya berpendapat, di Malaysia kita ini, hanya orang gila saja yang mempersendakan agama sendiri, apatah lagi agama orang lain. Tak kiralah di mana dan untuk tujuan apa. Lagilah orang Islam yang mengaku hafal lebih separuh al-Quran lepas itu telanjang separuh.

11. Masalahnya, jika seseorang itu disahkan gila oleh pakar psikiatri, dia tidak boleh dibicarakan oleh mana-mana mahkamah undang-undang atau dikenakan apa-apa tindakan kecuali rawatan psikiatri di rumah sakit otak. Jadi berhati-hatilah kalau nak buat gila. Padahnya buruk.

Wallahuaklam.

Penerangan gambar berbunyi: Hospital Mental Baru Tampoi, Johor. Blok Pentadbiran (1937)

 

No comments: