'Sederhana segala urusan, dapatkan nilai terbaik apa diusahakan'

 





Setelah melalui dua tahun sukar dikepung Perintah Kawalan Pergerakan, pada tahun ini umat Islam Malaysia bergembira merayakan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana 'tidak dijangka' akibat 1 Syawal jatuh lebih awal.


Bagi Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli beliau menyifatkan pengalaman berhari raya 'terburu buru' tahun ini amat berharga dan sewajarnya dinikmati bersama keluarga yang tersayang.


"Kita telah melalui dua tahun yang sukar. Kita juga letih dengan banyak perkara.


"Maka wajarlah kita lupakan seketika segala perkara yang menjadi beban kepada akal dan emosi kita untuk kita tumpukan kepada perkara penting dalam hidup kita iaitu keluarga tersayang dan mereka yang telah memudahkan hidup kita selama ini," katanya dalam catatan Aidilfitri di Facebooknya.


Calon Timbalan Presiden KEADILAN itu berharap pada Aidilfitri kali ini umat Islam akan bersederhana dalam segala hal tetapi mendapatkan nilai yang terbaik daripada usaha mereka.


"Bersederhanalah dalam segala urusan kita dan dapatkan nilai terbaik dalam setiap yang kita usahakan. Kalau buat lemang, biar kecil tapi lemak dan enak, kalau baju raya yang tahun lepas, asal segak bergaya.


"Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin," katanya lagi.

No comments: