Seorang macai dan pengikut tegar Datuk Seri Najib Razak bertindak membuat laporan polis terhadap Menteri Besar (MB) Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu dokumen kontroversi yang tidak pasti kesahihan, PASleak.

Isham Jalil, yang sebelum ini berkhidmat sebagai pegawai Najib dan kini dilantik Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor tidak berpuas hati dengan sindiran Sanusi dalam isu PASleak dan bertindak membuat laporan polis, malah Sanusi juga menyifatkan Isham sebagai “anak seluang”.

“Kenyataan-kenyataan Menteri Besar Kedah di atas adalah tidak benar, fitnah dan berniat jahat terhadap saya,” katanya dalam laporan polis yang dikongsi di media sosial hari ini.

Laporan itu dibuat melalui pegawainya pagi tadi di Balai Polis Bandar Bukit Puchong, kata Isham.

Sanusi baru-baru ini semasa di Alor Setar mengeluarkan kenyataan PASleak mungkin dikeluarkan oleh laskar siber BN yang mempunyai kepentingan melibatkan dokumen tersebut.

“Saya (Sanusi) beranggapan dokumen itu dibuat laskar siber pihak yang dapat kepentingan daripada dokumen itu, contohnya Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil.”

Sanusi mendakwa Isham mempunyai kepentingan terhadap dokumen itu, “sedang guna dokumen itu” dan “ada potensi untuk buat dokumen.”

PASleak merujuk kepada butiran pertemuan pemimpin yang didakwa diusahakan pemimpin PAS dengan pemimpin pelbagai parti.

Ia antaranya menyebut tentang idea campur tangan dalam kes mahkamah bagi mempercepat hukuman terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pemimpin PAS menafikan kesahihan dokumen itu.