Kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) antara PAS dan UMNO disifatkan ‘sudah mati’ walaupun ada segelintir ahli UMNO masih optimis dengan persefahaman itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata walaupun MN ini masih lagi wujud tetapi kini berada dalam keadaan tidak aktif dan sudah ‘mati’.

“MN ini masih lagi ada di situ tetapi dia tidak aktif dan boleh dikatakan seperti sudah ‘mati’ sebenarnya, malah saya sendiri tak dapat penelahan ke mana arah MN selepas ini.

“Ini disebabkan kita lihat pihak PAS nampaknya lebih mirip untuk bersama dengan Perikatan Nasional (PN) dan kita sudah membuat ketetapan bahawa UMNO tidak akan bersama dengan PN,” katanya memetik laporn BH hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Berbuka Puasa Menteri Besar Perlis bersama Anak Yatim Kawasan Kangar di Dewan 2020, di sini semalam.

Katanya, malah di peringkat UMNO sendiri sudah ada ketetapan bahawa mereka tidak akan bersama Bersatu membentuk satu kerjasama.

“Wujud suatu isu di sini jadi kita boleh buat kesimpulan sendirilah agaknya ke arah mana MN ini akan pergi.

“Selain itu, kita di peringkat ini hanya boleh bercakap dan membuat penilaian berdasarkan pendapat masing-masing tetapi parti yang akan membuat keputusan sebagai pihak pembuat keputusan tertinggi,” katanya.

Beliau berkata, Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang akan menentukan hala tuju MN ini kelak mengambil kira perkembangan yang akan berlaku pada masa kini dan akan datang.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri Besar Perlis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong meraikan lebih 240 anak yatim di sekitar Kangar selain menyerahkan zakat kepada anak yatim berkenaan hasil sumbangan beberapa pihak.

Minggu lalu, Ketua Bahagian UMNO Ketereh yang juga Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa ketika dalam lawatannya ke Perlis mengatakan bahawa kerjasama UMNO dan PAS dalam MN masih belum mati dan akan terus wujud dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.