Pensyarah kontroversi dah 6 bulan bersama PMO, kata sumber
PETALING JAYA: Pensyarah kontroversi Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff sudah bekerja di Pejabat Perdana Menteri (PMO) sejak enam bulan lalu.
Sumber enggan dikenali memberitahu FMT, Kamarul dilantik sebagai pegawai khas kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan secara khusus menasihatinya dalam isu dasar.
Ini berlaku selepas PMO memuat naik satu poster hari ini mengenai program akan dihadiri oleh Kamarul, di mana jawatan pensyarah itu ditulis sebagai “pegawai khas kepada perdana menteri”.
FMT telah menghubungi PMO untuk mendapatkan ulasan lanjut.
Tahun lalu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menggesa UUM melancarkan siasatan ke atas Kamarul kerana didakwa mencetuskan ketegangan agama dalam komen yang dibuat mengenai Ahli Parlimen DAP Steven Sim.
Ia berkaitan bantuan dihulurkan Sim kepada seorang pemuda Melayu yang susah telah “dijadikan isu” oleh ahli akademik itu.
Pensyarah itu menerima pelbagai saman fitnah, termasuk difailkan oleh Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh pada Mac berhubung catatan Facebook yang dibuatnya pada 2017.
Saman fitnah yang dibawa oleh Kamarul terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad turut ditolak oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bulan lepas.
Sementara itu, mahkamah sama membatalkan satu lagi saman fitnah Kamarul terhadap tujuh pemimpin DAP bulan lepas kerana arahan hakim bicara tidak dipatuhi.