Negara pendapatan tinggi, anak muda tiada pekerjaan?
Kerajaan BN – PN terus menerus memamaikan rakyat dengan mendodoikan mereka dengan harapan palsu bahawa Malaysia akan memperolehi status negara berpendapatan tinggi sedikit masa lagi.
Bagaimanapun, menurut Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, harapan kerajaan BN – PN itu tidak akan menjadi kenyataan kerana anak muda sukar mendapat pekerjaan, dan sekiranya bekerja sekali pun, 1.8 juta daripadanya dibayar gaji tidak setimpal kelulusan.
Beliau berkata demikian mengulas debat antara Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim baru baru ini yang mengungkap semula isu negara berpendapatan tinggi.
“Dari dulu sampai sekarang tak berubah, dia (Najib) akan mencacatkan kerangka kebajikan untuk rakyat dan terbukti apabila dia membicarakan pendapatan gaji (tinggi) tetapi tidak melaksanakan, dia retorik sahaja,” katanya.
Menurut calon Naib Presiden KEADILAN itu, sewaktu Najib menjadi Perdana Menteri beliau tidak banyak berusaha untuk memperbaiki peluang pekerjaan kepada anak muda mahu pun melatih semula mereka yang akan menghadapi transisi teknologi di hampir semua sektor pekerjaan untuk mendapatkan pendapatan tinggi.
“Masa dia berkuasa, dia tak pernah memikirkan bagaimana untuk mengangkat martabat pekerja .Saya tidak melihat dia ini sebagai bukan seorang pejuang pekerja ketika dia berkuasa.
“Buktinya kita tengok anak-anak lulusan universiti yang menganggur terlalu banyak, dan dia lebih cenderung untuk membantu orang sekeliling, suku sakat mereka sahaja”, kata Abdullah yang juga mantan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Negara berpendapatan tinggi menurut pakar ekonomi tidak sesuai dengan cara Malaysia menangani masalah kekurangan pekerjaan dan usaha menarik pelaburan asing yang malap.
Apatah lagi, negara masih menumpukan kepada industri berorientasikan buruh murah yang semakin didominasi oleh negara Asia Tenggara lain seperti Indonesia dan Vietnam.
Manakala untuk menarik pelaburan asing pada sektor berpendapatan tinggi lebih tertumpu kepada kemahiran Teknologi Maklumat yang mana Malaysia tidak mempunyai pelan latihan semula (re-skilling) pekerja yang sesuai dalam meningkatkan kemahiran.