PRU 15: BERSIH cadang mudahkan pendaftaran Undi Pos


 

Pengalaman kesukaran pengundi yang berada di luar negara untuk mengundi secara pos dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru baru ini sewajarnya menjadi pengajaran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memperbaiki sistem pendaftaran pengundian secara pos.



Sehubungan itu, pertubuhan pemantau pilihan raya BERSIH menyarakan agar SPR memperbaiki sistem pendaftaran agar tidak berulang peristiwa PRN Johor, yang mana hanya 7,814 pengundi daripada 200,000 anak Johor yang tinggal di luar negara, atau 4% daripada mereka mengundi secara pos.



Menurut pertubuhan itu, pemprosesan dan pengurusan undi pos oleh SPR kini yang terlalu bergantung kepada proses manual dan mempunyai keupayaan terhad, serta membawa kepada kesalahan manusia menjadi punca kegagalan SPR melaksanakan tugasnya.



"Kami menganggarkan proses yang sedia ada, SPR tidak dapat menguruskan permohonan undi pos lebih daripada 10,000 tanpa berhadapan dengan tunggakan dan penangguhan yang serius.



"Perkara ini akan mencerut pengurusan dan boleh menafikan ratusan ribu pengundi yang berpotensi. Seluruh proses ini perlu dirombak sebelum PRU 15," kata BERSIH dalam kenyataan mereka.



Justeru, BESIH mencadangkan agar SPR menghapuskan keperluan untuk mencetak kertas undi, Borang 2 dan sampul dengan membenarkan pengundi pos yang telah lulus untuk memuat turun dokumen versi PDF daripada akaun MySPR mereka dari atas talian.



"Ini akan menjimatkan 5 hingga 14 hari untuk mencetak, memasukkan sampul dan masa untuk penghantaran.



"Ini juga akan menjimatkan kos yang diperlukan untuk menggaji pekerja untuk melakukan tugas secara manual, kos material dan menghapuskan kesalahan pengurusan manusia seperti memasukkan kertas undi ke sampul yang salah atau menulis nombor siri yang silap pada Borang 2.



"Untuk memperkukuhkan pengenalan, salinan pasport dan MyKad perlu dilampirkan dengan amaran denda dinyatakan dengan jelas kepada mereka yang ingin melakukan penipuan dan penyamaran atau membuat salinan kertas undi," kata mereka.



Di samping itu, BERSIH juga menyarankan agar beberapa isu lain diperbaiki demi mewujudkan pilihan raya yang lebih demokratik dengan penyertaan pengundi sekitar 70% daripada jumlah pengundi berdaftar.



"Tempoh permohonan menjadi pengundi pos luar negara perlu dipanjangkan sebaik sahaja Dewan dibubarkan dan ditutup sejurus sebelum Hari Penamaan.



"Tempoh kempen minimum 21 hari untuk memberikan masa yang mencukupi bagi kertas undi dikembalikan sebelum Hari Pengundian.



"Semua arahan, sama ada atas talian atau luar talian (offline), perlu dwibahasa dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.



"Saksi yang menandatangan Borang 2 tidak semestinya rakyat Malaysia, memandangkan ada situasi di mana pengundi tersebut mungkin satu-satunya rakyat Malaysia di bandar atau kawasan tersebut," kata mereka lagi.



Tambah BERSIH, pembaharuan prosedur tersebut dalam ruang lingkup SPR dan tidak memerlukan pindaan undang-undang yang besar terhadap undang-undang sedia ada serta sempat dilaksanakan sebelum PRU akan datang.



No comments: