Panas! Pemuda Bersatu dakwa Umno dalang mahu burukkan Peja isu penjualan tanah lapangan terbang
Pemuda Bersatu Perak menyifatkan isu penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar sengaja ditimbulkan Pakatan Harapan (PH) dan Umno untuk memburukkan Ketua Bersatu negeri Ahmad Faizal Azumu.
Ketuanya, Muhammad Faizul Mohamed Ismail, berkata segala dakwaan dan penafian dibuat oleh pemimpin PH mengenai isu tersebut dilihat terarah kepada Faizal yang merupakan menteri besar Perak ketika itu.
Katanya, isu dibangkitkan itu seolah-olah cuba memerangkap Faizal sedangkan semua mereka pernah bersama menjadi anggota exco kerajaan negeri ketika zaman PH dan Perikatan Nasional (PN).
“Semua sudah sedia maklum bahawa PH dan Umno bekerjasama dengan era PH ada memberi memorandum sokongan kepada menteri besar sekarang untuk menerajui negeri Perak.
“Jadi, mereka sudah pasti ada persefahaman antara mereka untuk menimbulkan atau sensasikan isu bagi memburuk-burukkan Bersatu,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Menurutnya, sokongan PH kepada Umno bukan perkara baharu kerana usaha menjatuhkan Faizal sebagai menteri besar sebelum ini disebabkan sokongan kedua-dua parti itu.
Katanya, Menteri Besar Saarani Mohamad dilihat mempunyai niat tertentu dalam isu itu kerana mengambil masa lebih setahun untuk mendedahkan perkara tersebut sebaik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong Nga Kor Ming daripada DAP membangkitkannnya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sementara itu, Faizul turut menyifatkan isu yang dibangkitkan memandangkan pilihan raya umum (PRU) akan berlangsung tidak lama lagi.
Hari ini, memetik laporan Bernama, empat bekas exco kerajaan Perak ketika pentadbiran PH meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terperinci berhubung isu penjualan tanah untuk tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.
Bekas exco berkenaan, ADUN Pasir Pinji Howard Lee Chuan How, ADUN Manjoi Asmuni Awi, ADUN Sungai Rapat Mohammad Nizar Jamaluddin serta ADUN Simpang Pulai Tan Kar Hing.
Howard berkata, isu penjualan tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) seluas 188 hektar itu kepada sebuah syarikat swasta tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri atau Lembaga Pengarah PKNP ketika itu.