JIKA KERAJAAN DIJATUHKAN LAGI, LEBIH DIHARAP AGONG ISYTIHAR MAGERAN SEHINGGA PRU15 DIADAKAN

 

Berikutan Mahiaddin Md Yasin tidak lagi menyembunyikan hasratnya untuk kembali jadi Perdana Menteri sebagaimana disahkan oleh Tun Mahathir Mohamad dalam pertemuan kedua-dua mereka, di sisi lain ia adalah ancaman secara langsung kepada kedudukan kerajaan yang ada sekarang.

Selain Tun Mahathir selaku Pengerusi Pejuang, turut ditemui Mahiaddin ialah Pengerusi PH, Anwar Ibrahim dan juga Presiden Warisan Shafie Apdal yang dihubungi melalui telefon.

Walaupun setakat ini semuanya nampak menolak hasrat Mahiaddin itu, tetapi tidak mustahil ia akhirnya menjurus ke arah menggerakkan hati Presiden Bersatu itu untuk bertindak menarik sokongan terhadap kerajaan.

Motifnya tidak lain ialah agar Ismail Sabri jatuh sebagai Perdana Menteri yang akhirnya akan memaksa pemilihan Perdana Menteri baru dibuat sebagaimana sebelum ini, seterusnya membuka ruang kepada impian Mahiaddin itu menjadi kenyataan.

Dalam keadaan sekarang, jika tindakan menarik sokongan dibuat, mengadakan PRU dilihat sama sekali tidak sesuai kerana rakyat belum selesa dan bersedia, malah kebimbangan terhadap ancaman Covid19 sentiasa ada di mana-mana.

Peratusan keluar mengundi yang rendah di Melaka dan Johor adalah gambaran jelas keadaan itu.

Maka, menyerahkan kepada Agong untuk memilih Perdana Menteri baru adalah harapan mereka yang berhasrat menjatuhkan kerajaan itu.

Lebih-lebih bagi Mahiaddin dan Bersatu, hanya dengan berjaya mendakap kembali jawatan Perdana Menteri sajalah dilihat sebagai satu-satunya pilihan untuk mendapat kembali nyawa menghadapi PRU15 nanti.

Sebagai imbasan, sejak PRU 2018, negara telah menyaksikan tiga Perdana Menteri bertukar tangan berikutan keghairahan politik jatuh-menjatuh yang tidak berkesudahan.

Perlukah, jika Ismail Sabri dan kerajaan dijatuhkan kali ini, Perdana Menteri baru dilantik sekali lagi?

Jika kita tentu pandangan pelbagai lapisan rakyat, tak kira orang kampung, komuniti perniagaan, profesional atau kelas pertengahan, secara umumnya mereka tidak mahu lagi melihat berlakunya kemelut dan pertukaran Perdana Menteri sebelum tibanya detik PRU15.

Bagi mereka, biarlah penentuan mandat rakyat dan perebutan kuasa untuk menjadi Perdana Menteri itu dibuat ketika pengundian PRU15, itu pun tarikhnya yang sesuai bukanlah sekarang.

Sekarang masih di fasa awal endemik dan semua orang lebih memikirkan soal kehidupan dan bagaimana untuk mengisi semula poket yang sudah kering dan berlubang-lubang.

Tetapi, jika menjatuhkan kerajaan juga yang akhirnya menjadi pilihan para politikus yang rakus dan tamak itu, apalah daya rakyat untuk membantahnya.

Selain mengharapkan tiada PRU diadakan dalam waktu terdekat ini, harapan mereka juga ialah agar Agong tidak sama sekali melayan sebarang cubaan untuk menukar Perdana Menteri.

Kali ini, setelah tiga kali bertukar Perdana Menteri dalam waktu tidak sampai satu penggal setelah membuang undi, letihlah melihat drama yang sama berulang lagi.

Harapan terbesar rakyat kali ini lebih baik Agong mengisytiharkan Mageran saja bagi negara dalam tempoh tertentu, mungkin enam bulan dan mungkin setahun, sehinggalah waktu yang sesuai untuk PRU diadakan.

Berdepan dengan kerakusan politikus yang tiada kesudahan dan tidak pun apa yang dilakukan itu dapat menjanjikan kesejahteraan untuk kehidupan rakyat, melainkan demi kepentingan diri sendiri mereka semata-mata, bernaung di bawah payung Agong selaku Ketua Negara lebih daripada memadai untuk meneruskan kehidupan daripada membiarkan negara ini dikacau-bilaukan oleh perebutan kuasa yang tiada titik noktahnya.

Lagi pun, melalui kerajaan baru dan Perdana Menteri baru itu, lebih-lebih lagi jika sosok yang pernah gagal sebelum ini diberi kuasa semula, bukan saja keadaan tidak menjadi lebih baik, keamanan dan kestabilan negara juga tidak mungkin wujud. – ShahbudinHusin 06/04/2022.



No comments: