JIKA PH TERUS MEMERINTAH 4 LEBUH RAYA DISKAUN TOL 30%
Jika PH terus memerintah 4 lebuh raya diskaun tol 30%
Pengumuman Perdana Menteri semalam bahawa empat lebuhraya iaitu Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP) tidak akan dinaikkan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi jelas merupakan penerusan usaha Pakatan Harapan (PH) untuk mengurangkan beban rakyat ketika menjadi kerajaan dahulu, diteruskan kerajaan semasa.
Menurut Majlis Presiden PH keempat-empat lebuhraya tersebut yang akan diambil alih oleh sebuah entiti telah dicadangkan untuk dikurangkan harga tol.
“Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) akan mengambilalih keempat empat lebuhraya tersebut pada nilai RM5.48 bilion. Ini merupakan kesinambungan kepada usaha yang dimulakan Kerajaan PH pada Oktober 2019 di mana Majlis Jemaah Menteri pada ketika itu memutuskan secara dasar untuk memulakan proses mengambil alih lebuhraya-lebuhraya berkenaan.
“Maka apa yang diumumkan ini adalah dasar PH yang diteruskan hingga ke penghujungnya,” kata Majlis Presiden.
Menurut mereka lagi, sekiranya PH dibenarkan memerinmtah sehingga ke akhir penggal maka tidak mustahil semua konsesi tol di Malaysia akan sama ada dikekang kenaikan tanpa kerajaan membayar pampasan, atau dikurangkan nilai harga tol bagi lebuh raya yang telah lama beroperasi.
“Ini membuktikan jika PH terus mentadbir lebih dari 22 bulan dan Langkah Sheraton tidak berlaku, pelbagai dasar yang membantu meringankan beban rakyat akan dapat dilaksanakan.
“Sebagai contoh, Kerajaan PH telah memulakan usaha menamatkan konsesi lebuhraya dengan mengurangkan kadar tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sebanyak 18% pada 2020. Malah PH telah merancang untuk memberi diskaun 30% dan tol percuma selama 16 jam sehari di empat lebuhraya ini,” katanya.
Justeru, Majlis Presiden mendesak Kerajaan Persekutuan memberi diskaun tol sebagaimana yang dirangka kerajaan PH terdahulu.
“Kami menggesa Kerajaan untuk memberi diskaun tambahan kepada pengguna empat lebuhraya ini, serta memberi penjelasan penuh ke Parlimen berhubung hakmilik ALR, terutama dari sudut kewajipan kewangan dan ketelusan perbelanjaan ALR,” kata mereka lagi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADIILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden UPKO Datuk Seri Madius Tangau.