LUPAKAN KHEMAH BESAR, MANFAATKAN KELEBIHAN RAFIZI UNTUK MENANG PRU15

 

Secara prinsipnya, tujuan khemah besar ialah supaya blok pembangkang dapat bertanding satu lawan satu menentang BN dalam PRU15 akan datang.

Berdasarkan keputusan PRN Melaka dan Johor, pertandingan tiga penjuru – BN, PH dan PN – hanya akan menguntungkan BN serta lebih memudahkan gabungan tersebut meraih kemenangan.

Maka, sebab itulah khemah besar itu tidak henti-henti didendangkan.

Tetapi, di sebalik berdegar-degar menjerit tentang keinginan mewujudkan khemah besar dan perlunya menumbangkan BN melalui pertandingan satu lawan satu, DAP awal-awal lagi menolak untuk bekerjasama dengan Bersatu dan Pas.

Amanah juga tidak ingin bekerjasama dengan parti-parti yang ada dalam kerajaan sekarang, khususnya Bersatu dan Pas meskipun kedua-dua parti itu terang-terang bermusuh dengan UMNO.

Dengan demikian, apakah khemah besar itu hanya ingin membawa parti kecil yang kurang pengaruh seperti Pejuang, Warisan dan Muda saja untuk diberi tempat bernaung?

Jika hanya tiga parti itu saja yang ingin dibawa dalam naungan khemah besar PH, sudah pasti ia tidak akan ke mana kerana dalam PRN Johor misalnya, Pejuang dan Warisan telah hilang wang deposit semua kerusi yang mereka tandingi.

Muda pula hanya menang satu kerusi iaitu Puteri Wangsa, itu pun kerana diberikan kerusi yang selamat oleh PH.

Selain tidak ke mana-mana dengan tiga parti kecil itu, menolak untuk bekerjasama dengan Bersatu dan Pas juga menjadikan keinginan agar berlaku hanya pertandingan satu lawan satu menentang BN tidak menjadi kenyataan.

Bersatu dan Pas bersama beberapa parti dalam PN pasti tetap bertanding menggunakan logo mereka sendiri.

Jadi, di mana munasabahnya lagi khemah besar itu jika awal-awal DAP dan Amanah sudah menolak untuk bekerjasama dengan parti-parti tertentu?

Sebab itu, secara realistiknya, lebih baik PH lupakan saja hasrat mahu membina khemah besar itu dan jangan lagi bercakap mengenainya.

Terimalah realiti bahawa pertandingan tiga penjuru atau lebih pasti berlaku dan tidak dapat dielakkan dalam PRU15 akan datang.

Persoalannya, mampukah PH menang atau memenangi lebih banyak kerusi dalam pertandingan tiga atau banyak penjuru itu nanti?

Selain PH perlu kembali agresif memperjuangkan isu rakyat sebagaimana sebelum ini, di sinilah juga pentingnya Rafizi Ramli harus menang sebagai Timbalan Presiden PKR.

Bersama kembalinya beliau dalam arena politik yang dilihat telah berjaya menarik minat serta keterujaan rakyat, melalui Ayuh Malaysia yang diperkenalkannya dengan dikelolakan oleh Nurul Izzah Anwar juga adalah medium yang dipercayai berkesan untuk membantu PH meraih lebih banyak kerusi untuk dimenangi.

Jika Rafizi menang nanti, turut dipercayai beliau akan lebih agresif menarik sokongan rakyat melalui pelbagai program yang diperkenalkannya, selain mungkin banyak lagi pendedahan mengenai penyelewengan dalam kerajaan akan dibongkarnya sebagaimana itulah kelebihan yang dilakukannya sebelum PRU14 dahulu.

Sebaliknya, jika calon lain yang memenangi kerusi Timbalan Presiden PKR, tidak akan berlaku perubahan, tiada nilai tambah dan tiada peningkatan dalam gerak kerja PH ke arah memenangi PRU15 akan datang.

Segala-galanya akan kekal statik sebagaimana sekarang dan Anwar Ibrahim terus ternampak sendirian dan keseorangan ke sana sini untuk berkempen dan mencari sokongan.

PH hanya mungkin lebih berpeluang dalam PRU15 akan datang jika semua pihak kembali menerima realiti, bekerja keras menyantuni rakyat dan memilih orang yang betul di jawatan yang betul bagi menarik sokongan rakyat.

Pemimpin yang asyik dengan cerita nostalgia dan bangga dia setia semata-mata, tetapi tiada perancangan ke hadapan untuk diprogramkan kepada rakyat, tidak mampu menyumbang apa-apa ke arah kemenangan.

Bak kata Najib Razak mengenai pasukan media sosialnya setelah beliau hilang kuasa – mereka itu menghabiskan beras saja.

Apakah PKR yang merupakan tunjang PH mahu memilih orang sebegitu sebagai pemimpin di barisan hadapannya? – ShahbudinHusin 20/04/2022.