Dedah deliberasi RUU anti-lompat parti kepada umum, gesa Bersih

 


facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 
Kumpulan reformasi pilihan raya, Bersih menggesa agar ‘budaya berahsia’ dalam penggubalan undang-undang ditamatkan.

PETALING JAYA: Deliberasi mengenai cadangan undang-undang anti-lompat parti oleh jawatankuasa pilihan khas Parlimen perlu didedahkan kepada umum, kata kumpulan reformasi pilihan raya Bersih.

Sambil menggesa jawatankuasa itu menamatkan “budaya berahsia” dalam penggubalan undang-undang, Bersih mengingatkannya bahawa penglibatan orang ramai adalah perlu kerana undang-undang tersebut memberi kesan kepada mereka.

“Bersih menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti untuk melibatkan dan memaklumkan rakyat dengan maksimum agar rang undang-undang (RUU) yang terhasil mencapai kehendak rakyat dan sebarang kompromi yang diperlukan akan mendapat sokongan rakyat,” kata jawatankuasa pemandunya dalam kenyataan.

Kumpulan itu turut menyeru jawatankuasa itu agar tidak mengguna pakai undang-undang seperti Akta Rahsia Rasmi untuk menyekat deliberasi perundangan dan pengetahuan orang ramai tentang perkembangan RUU tersebut.

Walaupun minit mesyuarat dalaman jawatankuasa boleh dirahsiakan, ia sekurang-kurangnya perlu mendedahkan kepada umum keputusan penting mesyuarat dan perkembangan RUU, katanya.

“Perbahasan Parlimen pada 11 April menunjukkan satu punca ketidaksetujuan dengan RUU Anti-Lompat (parti) adalah berkenaan sama ada ahli Parlimen yang dipecat oleh parti akan turut terpecat daripada Dewan (Rakyat).

“Rakyat perlu dimaklumkan berkenaan persoalan mustahak ini dan cadangan penyelesaiannya bagi memastikan RUU anti-lompat tidak akan tergendala, tidak berkesan atau merosakkan demokrasi berparlimen,” katanya.

Bersih mengingatkan jawatankuasa berkenaan bahawa RUU tersebut “tidak boleh didraf secara tertutup dan terburu-buru” menerusi Parlimen.

Cadangan pindaan Perlembagaan itu dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 April tetapi kemudiannya diputuskan ia dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen untuk penelitian lanjut.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata, RUU itu akan dibentangkan dan diluluskan di Parlimen sebelum akhir Mei.


No comments: