JIKA 307 ALASAN TELAH GAGAL DI MAHKAMAH RAYUAN, APAKAH 94 ALASAN DI MAHKAMAH PERSEKUTUAN MAMPU MEMBEBASKAN NAJIB?


Bekas Perdana Menteri, Najib Razak mengemukakan 94 alasan dalam petisyen rayuannya di Mahkamah Persekutuan berhubung mengapa beliau harus dibebaskan daripada tuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Rayuan di Mahkamah Persekutuan ini adalah proses terakhir Najib sama ada beliau akhirnya akan dibebaskan atau menerima hukuman sebagaimana yang telah dijatuhkan sebelum ini.

Hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi dan kemudian disahkan oleh Mahkamah Rayuan ialah penjara selama 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta.

Hukuman itu bagaimanapun dibenarkan ditangguhkan sehingga rayuan selesai.

Antara alasan yang dibangkitkan dalam petisyen itu ialah Mahkamah Rayuan telah tersilap dalam fakta dan/atau undang-undang dalam mengesahkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap perayu (Najib) atas kesemua tujuh pertuduhan dan memanggilnya untuk membela diri.

Alasan lain yang disebut ialah bahawa kedua-dua Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Rayuan telah menggunakan logik dan rasional sendiri yang bercanggah dengan bukti yang dikemukakan berhubung dakwaan tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram.

Dalam petisyen rayuan yang difailkan melalui Tetuan Shafee & Co, semalam, Najib, 68, mendakwa beliau terkilan dengan kesilapan serius dalam fakta dan undang-undang yang diputuskan oleh kedua-dua mahkamah dalam alasan penghakiman yang dikemukakan.

Sebelum ini, dalam proses rayuan di Mahkamah Rayuan, pasukan peguam Najib telah mengemukakan 307 alasan mengapa bekas Perdana Menteri itu harus dibebaskan daripada hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi.

Peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili Najib, mengesahkan petisyen rayuan merangkumi 307 alasan itu difailkan pada 19 Oktober tahun lalu.

Antara alasan petisyen rayuan tersebut, Najib mendakwa beliau gagal mendapatkan perbicaraan yang adil dan saksama kerana kekhilafan hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan tindakan pihak pendakwaan yang menafikan haknya di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Begitu pun, Mahkamah Rayuan membuat keputusan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap Najib yang disabit dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang membuat keputusan tersebut diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Panel hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa hakim perbicaraan Mahkamah Tinggi adalah betul apabila mendapati bahawa tiga pertuduhan pecah amanah terhadap Najib telah dibuktikan tanpa keraguan munasabah.

Panel hakim juga bersetuju dengan keputusan hakim perbicaraan bahawa Najib selaku Perdana Menteri ketika itu mempunyai kepentingan peribadi dalam Kabinet apabila meluluskan jaminan kerajaan sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC.

Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan bahawa Najib mempunyai kuasa penuh ke atas SRC International serta pengetahuan mengenai kemasukan RM42 juta ke akaunnya di antara tahun 2014 dan 2015.

Beliau turut memutuskan bahawa RM42 juta aliran wang keluar dari SRC dan ke beberapa syarikat dilakukan bagi menyukarkan pengesanan dan mengelak dikesan pihak berkuasa.

Mahkamah juga bersetuju dengan hakim perbicaraan bahawa terdapat penyelewengan jelas sebanyak RM42 juta oleh Najib untuk kegunaannya sendiri.

Abdul Karim berkata dakwaan pembelaan kewujudan derma dari Arab yang masuk ke akaun Najib adalah tidak boleh dipertahankan.

Beliau menambah, tidak ada sebab untuk wang itu terlebih dahulu dideposit ke akaun SRC yang merupakan entiti milik penuh Kementerian Kewangan jika ia sememangnya derma dari Arab.

Kes rayuan Najib ini adalah kes yang paling ditunggu-tunggu, bukan saja di negara kita, tetapi juga di seluruh dunia.

Di beberapa negara, Amerika Syarikat, Singapura dan UAE misalnya, sudah ramai yang dihukum bersalah berhubung skandal 1MDB dan SRC International adalah anak syarikat 1MDB pada asalnya sebelum dipindahkan ke Kementerian Kewangan.

Di Mahkamah Rayuan sebelum ini 307 alasan dikemukakan oleh pasukan peguambela Najib dan ia gagal membebaskan beliau, apakah pula nasib beliau melalui 94 alasan yang dibentangkan di Mahkamah Persekutuan ini?

Sama-samalah kita tunggu pengakhirannya. – ShahbudinHusin 26/04/2022.



No comments: