Hujan lebat yang berterusan, sejak jam 3.30 petang tadi, menyaksikan banyak laluan utama di sekitar ibu negara ditenggelami air.
Antara laluan itu adalah Jalan Segambut, Jalan Kuching, Jalan Pudu, Jalan Ampang, Jalan Genting Klang, Jalan Sungai Besi, Jalan Tun Razak dan Jalan Tuanku Abdul Halim.
Turut dilaporkan ditenggelami air adalah Jalan Sematan, Jalan Kinabalu, Jalan Changkat Thami Dollah dan lebuhraya Sultan Iskandar..
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tutut memaklumkan keadaan itu di laman sosialnya.
Akaun media sosial DBKL juga memamparkan gambar Dataran Merdeka yang sebahagiannya dinaiki air manakala laluan trafik terputus.
Pengguna Twitter @Ano_hidayah melaporkan banjir di Jalan Ampang berhampiran stesen LRT Masjid Jamek, yang terletak tidak jauh dari pertemuan sungai Gombak dan Klang.
Kesesakan teruk sedang berlaku ketika ini apabila orang ramai pulang dari tempat kerja.
Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil pula berkongsi klip video di akaun Twitternya, mengenai banjir di Jalan Maarof – berhampiran pusat membeli belah Midvalley – dengan sekurang-kurangnya tiga kenderaan sedang tenggelam.
Kali terakhir Kuala Lumpur berdepan banjir kilat seperti ini adalah pada Disember tahun lalu.
Sementara itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik Kuala Lumpur dalam satu kenyataan, berkata susulan kenaikan air itu pihaknya terpaksa melakukan kawalan lalu lintas dan berikut adalah keadaan semasa jalan-jalan yang masih boleh dilalui:
- Jalan Pahang, Bulatan Pahang air berada di paras buku lali dan aliran trafik ketika ini perlahan dan tiada kerosakan berlaku.
- Jalan Dewan Bahasa berhampiran kubur Cina, air ketika ini di paras buku lali dan aliran trafik juga perlahan namun masih boleh dilalui kenderaan.
- Jalan Sultan Ismail berdekatan Quill Mall City, air di paras kaki dan aliran trafik pula dilaporkan perlahan, namun masih boleh dialui.
- Bulatan Sultan Hishamuddin berdekatan KTM, air berada di paras buku lali dan aliran trafik juga turut dilaporkan perlahan serta masih boleh dilalui.
- Air di Jalan Pudu, berhampiran UTC Pudu pula dilaporkan berada di paras kaki dan aliran trafik turut perlahan di sekitar kawasan terbabit tetapi masih boleh dialui kenderaan.
- Jalan Segambut pula dilaporkan air berada di paras betis dan aliran trafik juga perlahan dan tiada kenderaan boleh dilalui.
- Jalan Parlimen berdekatan Bank rakyat dan Bulatan Dato Onn pula dilaporkan paras air berada di paras betis dan tiada kenderaan dibenarkan melaluinya.
- Jalan Mahameru berdekatan Wisma Tani menghala ke Jalan Parlimen pula air ketika ini di paras lutut, namun kenderaan masih boleh melaluinya.
- Jalan Kinabalu di Bulatan Sultan Mohammad paras air air dilaporkan di paras lutut hingga menyebabkan aliran trafik perlahan selain tiada kenderaan dibenarkan melaluinya.
- Jalan Sultan Abdul Halim berdekatan terowong Duta di laluan keluar, masuknya pula dilaporkan air berada di paras lutut dan tiada kenderaan dibenarkan melaluinya.
- Jalan Travers di Balai Polis Travers air berada di paras buku lutut, manakala aliran trafik juga perlahan dan tidak boleh dilalui, namun tiada kerosakan dilaporkan.
Sementara itu, Bernama juga melaporkan bBanjir kilat melanda beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang hari ini berikutan hujan berterusan sejak pukul 3 petang tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata sebanyak 11 laluan dinaiki air setakat 5 petang ini dengan enam laluan masih boleh dilalui iaitu Jalan Pahang, Jalan Dewan Bahasa, Jalan Sultan Ismail, Bulatan Sultan Hishamuddin, Jalan Pudu (berhampiran UTC Pudu) dan Jalan Mahameru.
Beliau berkata laluan trafik di enam laluan tersebut masih perlahan dan tiada kerosakan dilaporkan setakat ini, sementara lima laluan lain iaitu Jalan Segambut, Jalan Parlimen, Jalan Kinabalu, Jalan Sultan Abdul Halim dan Jalan Travers tidak boleh dilalui.
“Keadaan air banjir kilat sekarang semakin surut,” katanya ringkas.
Terdahulu, Polis Kuala Lumpur memuat naik beberapa keping gambar menerusi laman Facebooknya yang mempamerkan anggota pasukan itu sedang membersihkan saliran longkang yang tersumbat bagi memastikan air banjir dapat surut dengan segera.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian banjir kilat pada 3.51 petang.
Menurutnya, jentera dari tujuh balai melibatkan 42 anggota bergegas ke lokasi kejadian iaitu di Jalan Segambut Dalam, Kampung Masjid; Jalan Sentul Pasar Dalam; Jalan Maarof, Bangsar; Lembah Pantai (Lebuhraya Sprint); Jalan Kuching; PSN Beruas, Bukit Damansara; Jalan Kasipillay dan Jalan Parlimen.
“Terdapat seorang wanita yang berjaya dibawa keluar oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Gombak kerana kereta mangsa berada dalam arus banjir, bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan di lokasi lain.
“Keadaan air surut selepas 30 minit anggota berada di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.
Hujan lebat berterusan sejak 3 petang tadi menyebabkan beberapa laluan di sekitar ibu negara dinaiki air dan menyebabkan kesesakan lalu lintas, namun tiada kerosakan dilaporkan setakat ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di seluruh negara hingga 5 dan 6 petang hari ini.