15 firma Sapura tuntut pembubaran Sapura Projects
PETALING JAYA: Menjelang pendengaran petisyen penutupan yang difailkan terhadapnya oleh pemiutang yang tidak berkaitan, Sapura Projects Services Sdn Bhd dikenakan notis pembubaran oleh syarikat induknya Sapura Energy Bhd dan 14 syarikat seinduknya berkaitan hutang berjumlah RM308 juta.
Dalam langkah yang dilihat untuk mengelakkan Jabatan Insolvensi menjadi penerima jika ia kalah dalam petisyen penutupan oleh DTEC Engineering Sdn Bhd, firma-firma itu memfailkan saman dalam kamar, meminta Mahkamah Tinggi melantik penyelesai pilihan mereka untuk menguruskan syarikat.
Saman itu difailkan pada 21 April, empat hari sebelum pendengaran petisyen penutupan oleh DTEC Engineering yang dihutangi RM13 juta oleh Sapura Projects.
Menurut peguam, difahamkan langkah diambil 15 firma itu adalah bagi mengelak Sapura Projects daripada ditutup kerana banyak kontrak masih berjalan.
Saman dalam kamar itu menyatakan bahawa Sapura Projects berhutang dengan DTEC dan firma seinduknya sebanyak RM308 juta.
Dalam afidavit, firma-firma itu memohon perintah mahkamah untuk melantik Lim San Peen sebagai penyelesai persendirian untuk menguruskan hal ehwal Sapura Projects jika ia ditutup.
Jika permohonan itu gagal dan DTEC berjaya dalam petisyennya, yang akan menyebabkan Jabatan Insolvensi menjadi penerima, firma-firma itu mahu mahkamah mengarahkan penerima memanggil semua pemiutang bermesyuarat untuk mengundi pelantikan penyelesai persendirian yang dicadangkannya dalam tempoh 21 hari.
Pelantikan Lim, katanya, adalah untuk kepentingan terbaik semua pemiutang kerana beliau akan dapat mentadbir urusan Sapura Projects dengan cekap berdasarkan pengalamannya dalam insolvensi korporat.
Dalam petisyennya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 Jan, DTEC berkata, Sapura Projects berhutang sebanyak RM19 juta tetapi selepas rundingan, kedua-dua pihak bersetuju dengan penyelesaian penuh RM15 juta pada Disember 2020, dengan ansuran RM1 juta dibayar setiap bulan.
“Bagaimanapun, ia hanya membuat dua pembayaran dan masih berhutang RM13 juta sehingga kini. Semua peringatan dan permintaan untuk pembayaran tidak diendahkan,” katanya.
DTEC berkata, Sapura Projects dianggap tidak berdaya membayar hutang, dan oleh itu, syarikat itu harus ditutup dan penerima rasmi dilantik.
Peguam DTEC Mohd Suffian Shamsudin, yang mengesahkan petisyen dan saman dalam kamar itu berkata, syarikat itu akan menentang permohonan oleh 15 firma Sapura berkenaan.