‘Pengasingan kuasa’ bermakna hakim Nazlan boleh disiasat, kata Zaid

 


facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 

Zaid Ibrahim menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
 (SPRM) segera mendedahkan dapatan siasatan terhadap Hakim
 Mahkamah Rayuan Nazlan Mohd Ghazali.

PETALING JAYA: Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata prinsip “pengasingan kuasa” tidak menghalang pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap hakim.

Beliau berkata, pelbagai pihak – daripada ahli Parlimen dan badan bukan kerajaan (NGO) – mengkritik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, yang dilaporkan sudah membuka kertas siasatan terhadap dakwaan RM1 juta “tidak dapat dijelaskan” milik Hakim Mahkamah Rayuan Nazlan Mohd Ghazali, dalam akaun banknya.

“Sekiranya itu yang rakyat faham berkenaan ‘pengasingan kuasa’, jadi ahli Parlimen tidak boleh disiasat (jika timbul dakwaan) tuduhan rasuah atau kesalahan lain

“Badan kehakiman mempunyai mekanisme dalaman sendiri untuk menyiasat hakim hanya bagi perkara tertentu sahaja, seperti salah laku.

“Ini tidak bermakna polis atau SPRM tidak boleh menyiasat dakwaan terhadap hakim,” kata Zaid.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Lim Guan Eng, membidas SPRM yang tidak segera menyiasat Azam berhubung dakwaan pemilikan saham dan waran bernilai jutaan ringgit, seperti dilakukan terhadap Nazlan, manakala Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim bimbang berlaku tekanan politik dan campur tangan, sekali gus melanggar prinsip pengasingan kuasa.

Presiden Badan Peguam Malaysia Karen Cheah, juga senada dalam kritikannya kepada SPRM, sambil menyatakan lunas Perlembagaan perlu diikuti.

Nazlan, sebelum ini merupakan hakim Mahkamah Tinggi, mensabitkan dan menjatuhi bekas perdana menteri Najib Razak bersalah terhadap tujuh pertuduhan berkaitan dana SRC International, pada 28 Julai 2020.

Blogger dalam buruan, Raja Petra Kamarudin, yang mendedahkan siasatan minggu lalu, juga mendakwa kaitan wang berkenaan membabitkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low), yang dikatakan menjadi dalang skandal 1MDB.

Nazlan membuat laporan polis berhubung dakwaan terhadapnya, dengan menyatakan dakwaan itu “palsu, tidak berasas dan berniat jahat” dan bertujuan menjatuhkan kredibilitinya sebagai hakim.

Dalam pada itu, Zaid turut merujuk kepada tindakan Nazlan membuat laporan polis terhadap Raja Petra.

“Sekiranya, beliau tidak yakin terhadap badan penyiasat, mengapa beliau membuat laporan (awal-awal lagi) dan menjadi subjek kepada siasatan? Beliau berkemungkinan besar tidak melakukan apa-apa kesalahan,” katanya mempertahankan hakim itu.

Zaid adalah pengasas firma guaman, Zaid Ibrahim & Co dan Nazlan pernah menjadi bosnya.

Sementara itu, Zaid berkata, Azam sepatutnya mendedahkan dapatan siasatan SPRM secepat mungkin.

“Buat kerja anda dan tidak perlu bimbang dengan kritikan,” katanya.


No comments: