Kalah tidak mengubah tekad Reformasi
Kekalahan KEADILAN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam bukan disebabkan kurang usaha atau kesalahan dari segi strategi, namun pilihan raya itu sendiri dirancangkan sedemikian rupa oleh pemerintah.
Parti pembangkang menghadapi banyak kekangan untuk berkempen termasuk dikompaun kerana melanggar Prosedur Operasi Piawai, tidak boleh mengadakan ceramah lebih 100 orang tetapi pihak BN boleh mengadakan kempen besar besaran dengan dana yang banyak serta memperkuda agensi kerajaan.
Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, dalam pilihan raya yang sukar tersebut keputusan semalam wajar diterima dengan hati terbuka dan dilakukan bedah siasat untuk menambah baik prestasi pada masa hadapan.
“Saya sedar ini bukanlah pilihan raya yang mudah. Saya juga sedar kita telah berusaha sedaya upaya untuk mewakili dan menjaga nama baik parti. Segala bantuan tenaga, kewangan, sumber, berhujan dan berpanas saudara saudari amat saya dan parti hargai serta wajar dikenang.
“Maaf daripada saya atas segala kekurangan dan kekhilafan sepanjang kempen. Kita wajib laksanakan post-mortem atau muhasabah untuk menilai penambahbaikan yang perlu, terutamanya sebelum PRU.
“Terus kuatkan semangat dan tekad untuk membawa agenda perubahan, reformasi,” kata Syed Ibrahim dalam kenyataan malam tadi.
Namun Ahli Parlimen Ledang itu bangga melihat semangat juang yang ditunjukkan oleh KEADILAN, anggota dan para penyokongnya menghadapi ‘kepungan’ dan asakan BN dari pelbagai penjuru selama 2 minggu berkempen.
“Meskipun kita tewas tetapi saya lihat kita telah beri saingan yang kuat kepada lawan.
“Kita wajar ucapkan terima kasih kepada pengundi kita. Laksanakanlah majlis penghargaan yang sesuai untuk pengundi dan jentera,” katanya.
Oleh itu, beliau mengucapkan penghargaan kepada semua yang turun berkempen di Johor sama ada membantu secara menyumbang tenaga atau dana dan sebagainya.
“Saya ambil kesempatan ini untuk rakamkan penghargaan kepada semua calon, petugas, sukarelawan, JPRN, JPRP, MPP, MPN, Cabang, Negeri dan wakil rakyat angkat serta semua pihak yang telah terlibat sepanjang kempen PRN Johor.
“Tahniah diucapkan kepada saudara Arthur Chiong kerana telah terpilih sebagai wakil rakyat DUN Bukit Batu, satu-satunya wakil rakyat yang mewakili KEADILAN dalam DUN Johor,” katanya lagi.