SYABAS PM KERANA TIDAK TUNDUK DENGAN DESAKAN

 

Meskipun diperlekehkan dengan seolah-olah hanya Najib Razak yang berperanan dalam memastikan kemenangan BN dalam PRN Johor serta layak diberi penghargaan, kemudiannya dijerit pula secara biadap dengan laungan “Bubar Parlimen” di hadapan mukanya, Ismail Sabri Yaakob akhirnya memperlihatkan ketegasannya sebagai Perdana Menteri.

Beliau jelas tidak terganggu dengan jeritan biadap itu, malah memperlihatkan sikap tenang dan fokusnya dalam hal berkaitan.

Syabas kepada Perdana Menteri kerana tegas dan tidak sesekali tunduk kepada desakan tersebut.

Sambil menolak desakan kumpulan yang mahukannya segera bertindak membubarkan Parlimen pada malam meraikan kemenangan BN semalam, Ismail Sabri menegaskan, keputusan untuk membubarkan Parlimen tidak akan dipengaruhi oleh kumpulan kecil yang mendesak pilihan raya umum (PRU) segera diadakan.

Naib Presiden UMNO itu berkata, PRU hanya boleh diadakan sebaik sahaja semua pihak sudah bersedia untuk menghadapinya.

“Tak tahu lagi (bila tarikh PRU) sebab seperti yang kita tahu dan saya dah sebut beberapa kali dalam ucapan, apabila kita sudah bersedia dan pilihan raya boleh diadakan, tapi perlu bersedialah.

“Soal bersedia atau tidak, kita akan bincang dan banyak perkara lain perlu kita tengok, tidak bolehlah disebabkan dalam satu kumpulan kecil terjerit-jerit nak pilihan raya, maka kita adakan pilihan raya,” katanya lagi.

Ismail Sabri selanjutnya berkata, soal membubarkan Parlimen adalah perkara yang besar di mana parti akan bincang, buat keputusan dan selepas itu beberapa perkara lain juga akan dilihat seperti prosedur menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan nasihat serta perkenan.

“Jadi, kita tunggulah masa yang sesuai,” tambah beliau.

Pelbagai pihak dalam UMNO sebelum ini, termasuk Presiden dan Timbalan Presiden sudah beberapa kali menyuarakan hasrat agar PRU15 harus disegerakan selepas saja PRN Johor berakhir.

Macam-macam alasan telah ditampilkan untuk mewajarkan desakan itu sehingga kepada insiden teriakan tiada kesopanan yang ditunjukkan pada malam semalam.

Rata-rata melihat apa yang dilakukan itu tidak wajar sama sekali dan seolah-olah Perdana Menteri daripada UMNO tidak dihormati oleh UMNO sendiri.

Di sebanyak banyak alasan ditampilkan untuk mengawalkan PRU15, tetapi yang paling disembunyikan faktanya ialah Zahid Hamidi yang sedang berdepan kes mahkamah sebenarnya mahu PRU15 dilangsungkan sebelum pemilihan UMNO diadakan serta di ketika beliau masih memegang jawatan Presiden UMNO.

Jika PRU15 berjaya ditangguhkan hingga ke tahun depan dan pemilihan UMNO diadakan terlebih dahulu, ketakutannya yang paling besar ialah kehilangan jawatan Presiden UMNO.

Hilang jawatan Presiden UMNO, bukan saja hilang sebahagian nikmat kehidupan, malah dipercayai tiada lagilah kelebihan dalam menghadapi perbicaraan.

Namun satu perkara yang tidak harus dilupa, mengawalkan PRU15 bukanlah penyelesaian dan jaminan kemenangan sudah dalam genggaman.

Berdasarkan fakta PRN Johor, selain lebih sejuta daripada keseluruhan 2.5 juta pengundi tidak keluar membuang undi, peratusan yang menyokong BN juga dikira masih kecil jika dibandingkan dengan yang menolak BN.

Hanya 43.11 peratus pengundi yang menyokong BN, manakala jumlah terkumpul yang menolak ialah sebanyak 56.89 peratus.

Dalam keadaan ini, bagaimana jika blok pembangkang boleh bersatu dan jumlah yang keluar mengundi pula tiba-tiba meningkat dalam PRU15 nanti?

Dengan angka dan fakta yang ada itu juga, apakah ia benar-benar menjamin BN pasti menang jika PRU15 disegerakan dalam keadaan UMNO masih dipimpin oleh mereka yang berdepan puluhan kes di mahkamah dan individu yang telah dijatuhi hukuman bersalah kekal dijadikan ikon memikat hati pengundi?

Bukankah jauh lebih selamat jika pemimpin baru yang bersih, tiada skandal, sederhana dan disenangi rakyat dibenarkan memimpin UMNO terlebih dahulu sebelum berdepan PRU15? – ShahbudinHusin 13/03/2022.



No comments: