Pas
jangan terus biarkan Hadi jadi Kaduk
ULASAN
|
Usah biarkan Hadi jadi kaduk. |
SAYA tidak tahu sampai bila parti
agama (Pam) akan membiarkan presidennya Abdul Hadi Awang melalut
alias "mengapur", tanpa tentu fasal yang gara-garanya bukan
menjatuhkan martabatnya sebagai presiden, tetapi secara tidak langsung turut
mencalarkan imej parti itu sebagai parti agama. Pam adalah parti kedua tertua
selepas Umno seharusnya mempunyai leadership cukup bertamadun.
Kenyataan, pandangan, ulasan dan
keputusan-keputusan yang dibuat oleh Abdul Hadi akhir-akhir tidak menggambarkan
kemantapan daya akal intelektual beliau sebagai pemimpin. Kemusyidannya sebagai
pemimpin kian tumpul dan ada kalanya mengelirukan.
Ada
kalanya lagak dan fiilnya seperti bebudak, nakal dan menghiburkan. Ada
sesetengah kenyataan politiknya bersifat menghibur bukan lagi mendidik jauh
memberi pencerahan. Pandangan dan kritikannya kosong dan hampa. Ia bukan lagi
dijadikan titik renungan tetapi bahan sendaan dan gurauan semasa memancing
seluang.
Ada masanya beliau menjadi seperti
tukang lawak jenaka di pentas menghiburkan peminat politik. Juga macam burung
tukang yang menukang tetapi rumah tidak menjadi. Orang suka dengan jenaka
politiknya dan analogi-analogi politik dibuat olehnya yang mengutip sekalian
binatang dan hewan dalam belantaran dan lautan menjadikan beliau lebih sesuai
menjadi ahli zoologist. Orang mengikuti ucapannya bukan untuk dijadikan bahan
berfikir tetapi bahan lawak.
Terbaharu ada dua ulasan atau pun
keputusan yang beliau buat mencerminkan kemandulan intelektual politik beliau
sebagai presiden sebuah parti.
Apa yang berlaku, kenyataan dan
tindakan itu mencemarkan martabatnya sebagai presiden. Pertama ialah
keputusan memecat ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali sebagai
Setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU). Beliau menjelaskan kemudian pemecatan
Khairuddin itu disebabkan masalah disiplin?
|
Khairuddin berniat baik. |
Tanpa menghurai lanjut apakah
kesalahan disiplin itu, tindakan itu menggambarkan kegelojohan (arrogant) diri
beliau dan ada elemen diktator dalam tindakan itu. Beliau seakan menggunakan
sepenuhnya kedudukan sebagai presiden untuk bertindak ke atas Khairuddin tanpa
melihat kepada perlembagaan yang merupakan kitab hidup Pas. Walhal kuasa dan
kehebatan jawatan presiden itu diperuntukan oleh perlembagaan.
Menurut perlembagaan beliau sebagai
presiden tidak ada kuasa memecat Setiausaha MSU. Yang berkuasa memecat
Setiausaha MSU ialah Mursyidul Am, yakni orang yang juga bertanggungjawab dan
berkuasa melantik Setiausaha itu setelah seseorang itu sudah menjadi ahli
MSU.
Jadi apabila Abdul Hadi
mengisytiharkan yang Khairuddin sudah dipecat sebagai Setiausaha MSU
menunjukkan beliau tidak menghormati kuasa amanah Mursyidul Am yang
ketika ini Hashim Jasin. Dua salah laku serentak Hadi disini,
pertama salah menggunakan kedudukannya dan tidak menghormati keberadaan Hashim
Jasin sebagai Mursyidul Am sebagai badan tertinggi dalam Pas.
Sebenarnya isu yang menimpa
Khairuddin itu besar. Besar bukan kerana Khairuddin dipecat atas alasan
disiplin seperti mana dakwa Hadi, tetapi kerana perlanggaran Perlembagaan Pas.
Hadi terang-terang mendahului perlembagaan Pas dan tidak menghormati Mursyidul
Am yang mempunyai kuasa melantik Setiausaha. Apakah peranan dan martabat Hashim
Jasin selaku Mursyidul Am pada masa ini sudah tidak jadi seagung dahulu
lagi?
Hari ini Khairuddin telah
mengumumkan meletak jawatan sebagai Setiausaha MSU mengikut Fasal 8(7) dan
Fasal 8(5) Perlembagaan PAS. Alasan diberikan kerana untuk mengelak berlaku
krisis perlembagaan dalam Pas kerana menurutnya pemecatan beliau seperti
dimumkan Hadi itu sebagai tidak sah.
Memahami kenyataan Khairuddin itu,
bahawa perngisytiaran oleh Hadi Awang itu yang beliau telah dipecat, ertinya
belum terpecat kerana dibuat tanpa sah. Bermaksud pemecatan itu seperti orang
yang mendirikan solat tanpa berwuduk. Kalau pun ghairah hendak solat kena ambil
wuduk dulu.
"Pada mesyuarat itu, saya
meletak jawatan secara rasmi bagi menjaga keharmonian parti dan meraikan hasrat
Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang mahu menghantar orang lain menjadi ahli
Majlis Syura,” katanya dalam sebuah laporan dipetik.
Tindakan Khairuddin itu satu
tindakan terpuji dan baik untuk menjaga maruah parti dan juga presiden. Ia
sebagai satu pengorbanan kepada jemaah. Ahli Parlimen Kuala Nerus itu mungkin
sudah berbincang dengan kumpulan atau rakan-rakan terdekat yang bersimpati
dengannya untuk tidak mempertikaikan kenyataan pemecatannya oleh Hadi itu, apa
lagi membawa ke mesyuarat sehingga menyebabkan Perlembagaan Pas perlu dibuka
untuk tidak mengaibkan Hadi.
Tindakan dan tujuan itu adalah baik,
bahawa Khairuddin masih ada rasa hormat, bersikap terbuka dan sayangkan kepada
jemaah (parti) Pas dan tidak mudah terikut dengan emosinya. Sikap itu terpuji.
Kalau itulah cara dan tujuannya,
bagaimana pun ia bukan satu pengislahan yang betul. Benar Khairuddin tidak mahu
menimbulkan kerepotan dalam parti, dan mahu partinya tenang dan harmoni, tetapi
kalau nawaitunya berbuat begitu sampai menggadaikan kesucian dan kemuliaan
Perlembagaan kerana hendak menjaga kedudukan dan air muka presiden ia bukan
satu tindakan yang tepat. Bahkan satu kekhilafan pula.
Khairuddin boleh bersikap tasamuh dan
berbesar hati begitu jika di pihak lain juga sedia berbuat demikian. Tetapi
kalau hanya di pihak Khairuddin sahaja memikirkan masa depan parti tetapi tidak
yang lain, ia sia-sia. Tidak ada guna kita menimbul jerami kalau orang lain
membakarnya.
Dengan mengambil sikap begitu juga,
kesalahan Abdul Hadi lakukan itu tidak tertebus. Ia tidak akan memberi apa-apa
kesan dan impak kepada Abdul Hadi khasnya dan kepada parti amnya. Apa dilakukan
presiden parti itu akan dijadikan precedent di masa akan
datang. Sebaliknya ia lebih malang buat parti kerana perlembagaan atau
institusi MSU yang merupakan institusi atau (harakat) tertinggi sudah tidak
diindahkan lagi.
Ditegaskan sekali lagi cara kaedah
diambil Khairuddin itu terpuji tetapi ia tidak dapat mengislahkan parti berada
di landasan sebenar. Sebaliknya juga ia akan mengecewakan mereka yang
berprinsip dan mahu melihat parti ditadbirkan mengikut sistematik dan
berperlembagaan serta penuh intergriti. Apa lagi kalau tindakan Abdul
Hadi itu didasarkan kepada elemen lain atau pun nasihat para penasihat 20%
berkepentingan diri.
Ada cerita dari kejauhan membuat
analisa yang Abdul Hadi kini tidak berkompeten seperti dahulu lagi. Kesannya
banyak keputusan dibuatnya bukan lagi secara kolektif tetapi hanya atas nasihat
dan pandangan sesetengah orang sahaja. Kalau spekulasi ini benar, ia satu
kesilapan dan kemalangan buat Pas dan Hadi sendiri. Ahli dan penyokong Pas
perlu berbuat sesuatu. Bukankan ahli Pas selama ini sangat sensitif soal-soal
yang boleh merosakan kemurnian parti itu?
Sikap apologetik memaafkan Abdul
Hadi kerana atas alasan untuk tidak mengelakkan berlaku krisis perlembagaan
bukan satu pendekatan dan kritikan yang konstruktif. Sepatutnya Khairuddin
mempertahankan kedudukannya atas niat dan nawaitu untuk mengajar presiden yang
mungkin sudah dibaham alzheimer.
Atau kalau Abdul Hadi bertindak
mengikut nasihat orang tertentu, beliau khasnya dan am Pas seluruhnya perlu
memberi kesedaran kepada mereka yang mengelilingi Hadi itu. Sebagai sebuah
parti, ia tidak wajar terus bertindak diluar batas perlembagaan atau dikawal
oleh segelintir pakar yang mengambil kesempatan tertentu. Dalam konteks ini Pas
jangan membiarkan Hadi terus menjadi Kaduk. Hendaklah ada perintis dalam Pas
untuk menebas Kaduk ditanam dengan herba lain demi kebaikan Pas.
Pandangan kedua berhubung
ucapan Abdul Hadi semasa peluncuran jentera pilihan raya PN di Johor dua hari
lepas. Maki hamun beliau kepada DAP, Keadilan dan Muda adalah keterlaluan.
Katanya kenapa beliau (Pas) menolak DAP ialah kerana parti itu ekstrimis. Hadi
kebelakangan ini sudah "melupai" hadith-hadith dan ayat-ayat Quran
membicarakan batas imam dan kufur untuk menempelak Umno, tetapi menjadi lancang
berapi dengan DAP dan PKR.
Dalam ucapan itu yang saya dengar
menerusi Tiktok juga beliau ada menyebut PKR sebagai parti
penipuan. Kedua-dua kenyataan Hadi itu sangat lavel menjatuhkan maruah DAP dan
PKR menyebabkan kedua parti itu boleh samannya di mahkamah. Mungkin mereka yang
hadir suka dan seronok dan ketawa sampai mata berair mendengar makian Hadi itu,
tetapi dari segi siasah dan intelektualnya ia tidak berbobot langsung.
Sebagai presiden dan kini berjawatan
Duta Khas ke Timur Tengah sudah sampai masa Hadi berbicara dan memberi kupasan
dan membuat analisa kepada sesuatu isu secara lebih profesional dan bertaraf
negarawan. Yang masyarakat ingin dan ketagih untuk dengar daripada beliau bukan
persendaan, hinaan kepada mana-mana pihak, tetapi nasihat dan pesan-pesan
berhikmah untuk dijadikan surat wasiat bangsa. [wm.kl. 7:10 pm
22/02/2021]