Balas dengan melampau, dua kali lima saja, apa beza kita dengan mereka?

 


Ada yang tulis katanya sehari dua ini merupakan hari-hari yang suram buat Islam.

Tulisan mereka dinatijahkan atas isu keputusan mahkamah dalam kes penjagaan anak-anak Puan Loh dan juga terbaru semalam keputusan membatalkan larangan sebuah buku berkaitan gaya hidup “gay”.

Saya sejak lama dulu tidak pernah merasa suram buat Islam. Islam tidak pernah suram dalam apa jua keadaan sekali pun. Islam tetap akan di atas, mulia dan tertinggi sesuai dengan status Islam sebagai agama Allah pencipta seluruh alam ini.

Yang menjadi suram dan merasa suram bukan kerana Islam itu suram tetapi kerana pembawa Islam di muka bumi kita sekarang. Mereka membawa Islam dengan cara dan hala tuju mereka sehingga orang melihat Islam yang berbagai sedangkan Islam hanya satu.

Dalam kes anak-anak Puan Loh, jika pembawa Islam tidak sentap, tidak beremosi, tidak melampau, orang luar Islam akan melihat betapa indahnya dan adilnya serta tenangnya Islam.

Ya. Ada beberapa fakta dan tuduhan yang tidak tepat di pihak sebelah sana tetapi mereka itu bukan Islam.

Jika kita yang membawa Islam menentang mereka juga dengan cara mereka, bila Islam akan dilihat dengan nilai yang berbeza. Mereka tuduh kita begitu, kita pula tuduh mereka begini. Akhirnya sama, dua kali lima. Apa bezanya?

Kita yakin Islam akan dibantu Allah dengan usaha kita. Kita berusaha lalu bertawakkal.

Kita kata mereka pelampau kemudian kita juga membalas mereka dengan melampau. Apa beza kita dengan mereka?

Kita sendiri yang suramkan keadaan.


No comments: