Kebimbangan yang turut berkembang di sebalik termenjadinya PRN Johor ialah kemungkinan ia disusuli dengan PRU15 yang dipaksakan ia berlaku.
Bukan saja rakyat biasa bimbang jika PRU diadakan pada waktu ini lantaran wabak Covid19 nampaknya masih lagi belum reda, sebahagian ahli dan penyokong UMNO juga tidaklah benar-benar suka adanya PRU.
Terdapat ahli-ahli UMNO yang merasakan belum masanya untuk diadakan PRU kerana Ismail Sabri Yaakob masih terlalu baru memegang jawatan Perdana Menteri.
Lantaran itu, beliau dirasakan perlu diberi lebih masa untuk melaksanakan tugasnya memulihkan negara pasca Covid19 yang memberi kesan mendalam kepada jutaan rakyat dari segi kehilangan pekerjaan serta pendapatan.
Beberapa program yang diperkenalkan kerajaan seperti Jamin Kerja dan bantuan untuk PKS baru-baru ini misalnya, tentu saja memerlukan sedikit masa untuk menampakkan kesannya kepada rakyat..
Tetapi, jika beliau terus dipaksa untuk membubarkan Parlimen yang kemudian disusuli dengan PRU15 yang terpaksa dilangsungkan, sudah tentu hasil kejayaannya akan hilang entah ke mana.
Yang lagi pelik ialah kerana yang beria-ia mahu Parlimen dibubarkan itu ialah UMNO sendiri, parti yang menguasai kerajaan dan pemimpinnya sendiri sedang menduduki kerusi Perdana Menteri.
Dalam hal ini, apa lagi yang UMNO mahu sebenarnya?
Bukankah dengan telah berjaya mengetuai kerajaan dan memperolehi kembali kerusi Perdana Menteri, ia sudah merupakan kejayaan buat UMNO?
Jika PRU15 dipaksa untuk diadakan lebih awal, apakah benar-benar terjamin UMNO mampu memenanginya atas tiket BN?
Bagaimana jika kalah atau masih terpaksa berkongsi kuasa seperti mana sekarang?
Dengan kemungkinan memaksa PRU15 selepas PRN Johor serta beberapa pimpinan UMNO dilihat berterusan menekan agar Ismail Sabri membubarkan Parlimen, kononnya untuk memperolehi mandat baru daripada rakyat, waima dengan menggunakan hal-hal kecil seperti i-Citra sebagai alasan, yang nyata semua ini hanya menampakkan sikap UMNO yang kemaruk kuasa dan ingin membolot pemerintahan secara sendirian.
Walaupun pembolotan kuasa secara sendirian itu belum pasti mampu diperolehi, namun itulah yang sebenarnya dimahukan oleh UMNO.
Bagaimanakah mahu menghalang hasrat UMNO itu, sekaligus mengelakkan PRU15 diadakan lebih awal?
Ia tidak lain ialah dengan pengundi Johor memastikan UMNO tidak menang dengan cemerlang sebagaimana di Melaka dalam PRN Johor, 12 Mac nanti.
Selain itu, dengan memastikan UMNO tidak menang cemerlang juga dapat menjadikan Ismail Sabri terus kekal lebih lama sebagai Perdana Menteri.
Jika Ismail Sabri tidak diberi ruang menunjukkan kejayaannya mentadbir negara, UMNO sendiri sebenarnya hilang sebahagian peluang untuk memenangi PRU15 dengan lebih baik. – ShahbudinHusin 22/02/2022.