Aplikasi ADIL yang bakal digunakan dalam Pemilihan Parti Keadilan
Rakyat 2022 dalam peringkat akhir pembangunannya dan bakal diluncurkan dalam
masa yang terdekat.
Hal itu dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Dr Zaliha Mustafa. Katanya, aplikasi tersebut akan memudahkan proses pembuangan undi secara atas talian yang memungkinkan lebih ramai anggota parti mengundi.
"Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) telah menerima pelbagai pertanyaan terhadap aplikasi ini, yang kini boleh dimuat turun dalam Google Play Store dari telefon operasi Android dan sedang menanti kelulusan dari Apple App Store untuk telefon yang menggunakan operasi iOS.
"Aplikasi ini masih dalam tempoh percubaan dan JPP akan mengumumkan secara rasmi bilakah ia benar-benar dapat digunakan sepenuhnya atas dual fungsi terawalnya, iaitu kemaskini data keanggotaan yang sekali gus akan menjadi daftar pemilih, dan bagi anggota menyatakan persetujuan untuk mendaftar sebagai pengundi atas talian.
"Jika tidak anggota secara automatik akan merupakan anggota yang boleh hadir secara fizikal di lokasi-lokasi pengundian yang akan ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) kelak," katanya.
Oleh itu, kata Dr Zaliha, JPP benar-benar menggalakkan dan menyeru seramai mungkin anggota-anggota parti mendaftarkan diri sebagai Pemilih Atas Talian (PAT) kerana ini akan lebih memudahkan urusan pemilihan khususnya di musim jangkitan pandemik Covid 19
"Namun kemaskini yang dibenarkan dari aplikasi ini adalah terhad hanya kepada beberapa maklumat asas iaitu nombor telefon, alamat email dan juga alamat tempat tinggal.
"Justeru pemilih harus benar-benar pasti untuk meletakkan satu sahaja nombor telefon yang bakal digunakan kelak dalam proses pemilihan atas talian, yang dijangkakan akan dilaksanakan pada pertengahan Mei 2022," katanya lagi.