Speaker DUN Johor, Suhaizan Kayat mempersoalkan tujuan kerajaan negeri Johor yang diterajui UMNO-Barisan Nasional (BN) membubarkan DUN untuk diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada ketika ini.
Dakwanya, ia disengajakan supaya peratusan keluar mengundi nanti tidak tinggi, yang terbukti memberikan kelebihan buat UMNO-BN seperti pada PRN di Melaka tempoh hari.
Beliau menyuarakan andaiannya itu berdasarkan kenyataan oleh Timbalan Presiden UMNO merangkap Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang berkata kemenangan mereka di Melaka tidak mungkin dicapai sekiranya ramai yang keluar mengundi.
“Beliau kata ‘threshold’ jumlah yang keluar mengundi mesti tidak lebih 65 peratus, kalau tidak UMNO tidak mungkin dapat memenangi kerusi yang begitu banyak.
“Maknanya UMNO memang tidak mahu rakyat keluar mengundi,” katanya.
Pembubaran DUN yang dibuat di waktu ini juga dilihatnya sebagai kesempatan yang mahu diambil UMNO-BN ketika warga berbangsa Cina mahu merayakan Tahun Baharu mereka pada Februari nanti.
“Bila mereka sudah balik berhari raya, mereka tidak akan mahu balik kali kedua semata-mata untuk mengundi. Mereka mesti akan pilih salah satu, sama ada pilihan raya atau raya.
“Kemudian ramai pekerja Malaysia di Singapura tidak dapat balik, mereka ini sebahagiannya kaum Tionghwa dan sebahagian dalam kalangan mereka itu adalah penyokong Pakatan Harapan,” jelasnya lagi.
Sebab ketiga yang dibaca Suhaizan adalah rakyat ketika ini masih risau dengan keadaan wabak COVID-19 dengan gelombang varian Omicron sudah semakin meningkat sekaligus menyebabkan mereka berat untuk keluar mengundi.
Ini ditambah dengan peningkatan jumlah pengundi di Johor iaitu seramai kira-kira 700,000 pengundi baharu susulan berkuatkuasanya pendaftaran automatik warganegara berusia 18 tahun sebagai pemilih pada 15 Disember 2020 tempoh hari.
“Umpamanya di Kota Iskandar, pengundinya meningkat kira-kira 60 peratus, daripada 60,000 sekarang menjadi lebih 100,000.
“Bila terlalu ramai, bayangkan bagaimana mereka nak beratur, jadi di situ melahirkan ketakutan kepada pengundi untuk keluar mengundi,” katanya.
Dengan memanfaatkan kesemua faktor yang disebutkan ini, kata Suhaizan UMNO-BN akan meraih sokongan penuh daripada pengundi akar umbi yang setia kepada mereka, seterusnya berharap mengulangi kejayaan di Melaka untuk UMNO-BN mengukuhkan semula penguasaannya di Johor.