MERUJUK
kepada kenyataan Anwar Ibrahim bahawa PH akan bergabung dengan semua
pembangkang untuk menghadapi Pirane Johor, ingin saya mengemukakan satu
pandangan yang mungkin tidak disenangi oleh pihak tertentu.
Cadangan Anwar selaku pengerusi PH untuk menggabungkan semua pembangkang dan
komuniti sivil menghadapi pilihan raya itu bagi menjamin kemenangan PH dan
memulihkan semula PH yang kelihatan lendur kini, ia satu tindakan baik.
Tetapi ada sesuatu yang mungkin perlu diambil hirau sama oleh Anwar untuk menambahkan
kekuatan pembangkang menghadapi pilihan raya itu.
Selain melihat kepada keperluan pembangkang bergabung dan berpadu dengan satu
matlamat, beliau seharusnya melihat ke dalam partin sendiri juga. Kena diakui
bahawa keadaan dalam PKR (Keadilan) dan kekuatannya kini tidak semapan
dahulu.
Perpecahan disebabkan khianat Azmin Ali, Jaafar
Kamaruddin dan suku sakatnya tidak terhad disitu sahaja, tetapi
Keadilan mempunyai kepincangan-kepincangan lain yang boleh diperbaiki. Kepuakan
dalam Keadilan, kronisme dalam parti itu masih berlaku seperti parti itu masih
seutuh zaman dulu.
Perpecahan, pemecilan individu tertentu termasuk yang mempunyai
jawatan masih berlaku, dan keadaan ini menyebabkan Keadilan tidak sekuat
dahulu. Begitu juga pemecatan keahlian tanpa merit jelas, penggantungan kerana
ia menjadi saingan kepada seseorang bukan pun kepada parti tidak perlu diterus
dan dibiarkan. Ada bukti menunjukkan ada kejadian itu, termasuk di Johor.
(Perlukah saya sebut disini?)
Anwar kena usaha pulihkan parti, mempersatukan semua pemimpin yang ada,
mengutip mana-mana individu yang tersisih dan terbuang, membebaskan mana-mana
ahli digantung tanpa tali dan sebab, agar berada dalam satu saf.
Mana-mana
bekas ahli yang sebelum ini melaut dan sudah kembali ke pantai semula,
hendaklah diberi peluang kedua dan dipergunakan seoptimunya tenaga mereka,
jangan tunggu lama takut yang ditunggu hilang pula.
Saya sebut beberapa contoh individu atau pemimpin yang "terbuang"
tetapi mereka ada aura dan kelebihan tersendiri dan pengalaman yang boleh
menguat parti, perlu dikumpul semula dan disatukan. Ditanam semangat baharu
dengan azam dan iltizam baru.
Antara merek; Rafizi Ramli, Ezam Muhammad Noor, Mustafa
Kamil Ayub, Tian Chua dan lain-lain, hendaklah diambil kira dan
letakkan mereka dalam gelanggang parti dengan tanggungjawab masing-masing
mengikut kepakaran mereka. Lupalah segala titik bengik yang merugikan parti dan
perjuangan reformasi.
Sebagai presiden Anwar harus berani dan tegas dalam soal ini. Tidak perlu
pertimbang dan dengar nasihat yang kacau. Soal ada yang menyakit hatinya, yang
khianat kepadanya, yang kurang ajar kepadanya, yang mengecewakannya, perlu
diketepikan kerana tindakan sebegitu bukan suatu yang perlu dibiarkan selamanya
dalam politik yang mana hakikatnya undi seseorang yang menyakiti hati sama
nilainya dengan undi yang taksub dan sujud tidak bertepi kepada kita.
Dalam Keadilan bermasalah, miskin pemimpin, kurang penggerak dan aktivis,
sokongan kian menipis, Anwar dan semua orang Keadilan harus menyihat pemikiran
politik. Kalau sudah ada nekad dan semangat untuk menyatukan pembangkang, maka
perlu juga ada nekad dan azam untuk berbuat hal sama kepada mana-mana individu
dalam parti sendiri (Keadilan), terhadap bekas ahli dan sebagainya khasnya yang
kini menghulur tangan untuk disambut. Trims. [wm.kl. 9:39 pm