Himpunan 20 Januari lalu bagi menyerah memorandum anak muda
menentang dakwaan salah laku Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki kepada Ahli ahli Parlimen di jalan masuk ke
Bangunan Parlimen tidak seharusnya dianggap sebagai satu kesalahan.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah (gambar,
kanan) berkata, perhimpunan aman sama
sekali tidak menyalahi Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan lalu, katanya, di
atas dasar apakah pihak polis menyiasat peserta perhimpunan atau wakil rakyat
yang turun menerima memorandum pada hari berkenaan.
"Saya rasa siasatan ini tidak perlu dijalankan kerana ini
melanggar demokrasi.
"Dalam Perlembagaan kita ada hak untuk berhimpun dan juga hak
untuk bersuara. Saya harap polis akan batalkan siasatan kepada bukan sahaja
Ahli Parlimen tetapi juga peserta bantah #TangkapAzamBaki kerana
ini (siasatan) tidak diperlukan," katanya kepada wartawan selepas
menghadiri sesi soal siasat di IPD Dang Wangi, pagi tadi.
Menurut Maria lagi, Azam Baki adalah individu yang sepatutnya
menjawab persoalan mengenai pemilikan sahamnya kepada rakyat lantaran beliau
penjawat awam, bukannya peserta perhimpunan dipaksa menjawab apakah sebab
mereka membantah.
"Saya rasa dia (Azam) tidak boleh tidak menjawab soalan. Kita
dah timbul dalam media, dalam Parlimen. Semua statement kita ada, tetapi dia tidak jawab.
"Bagi saya semua yang turun himpunan #TangkapAzamBaki apa
salahnya kalau kita sebagai rakyat bertanya (mengenai skandal Ketua Pesuruhjaya
SPRM).
"Ini menyentuh integriti (penjawat awam)," katanya lagi.