Mahkamah Tinggi semak keputusan kes remaja curi tabung masjid, Isnin ini


Peguam Muhammad Hariz Md Yusoff yang mewakili Daniel Iskandar berkata, permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Abd Halim Aman, jam 9 pagi. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi akan menyemak keputusan kes seorang remaja lelaki yang dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 kerana cuba mencuri tabung masjid, baru-baru ini.

Pendengaran semakan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Selayang yang menjatuhkan hukuman itu ke atas Daniel Iskandar, 19, ditetapkan pada 17 Jan ini, di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Zainul Rijal Abu Bakar, berkata prosiding semakan itu ditetapkan mengikut peruntukan di bawah Bab 31 Kanun Tatacara Jenayah.

“Tetuan Hariz Syakinah & Co telah dilantik oleh Daniel Iskandar untuk mewakilinya dengan bantuan PPMM. Maka PPMM melalui Tetuan Hariz Syakinah & Co akan hadir di Mahkamah Tinggi pada hari tersebut,” menurutnya dalam kenyataan.

Bab 31, antara lain, adalah berkaitan kuasa Hakim untuk memanggil rekod Mahkamah Rendah dan kuasa Hakim untuk semakan.

Semalam, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, dalam sidang akhbar berkata hukuman diputuskan Mahkamah Rendah boleh disemak oleh Mahkamah Tinggi, jika didapati berlebihan atau kurang sesuai mengikut undang-undang sedia ada.

Peguam Muhammad Hariz Md Yusoff, ketika dihubungi, pula berkata permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Abd Halim Aman, pada 9 pagi.

Beliau berkata, anak guamnya kini berada di Penjara Kajang dan pihaknya tidak dapat bersemuka dengan remaja itu berikutan prosedur operasi standard yang memerlukan ujian RT-PCR dibuat terlebih dahulu.

“Saya telah pergi ke Penjara Kajang dan hanya berhubung melalui surat bertulis dengan pegawai penjara yang kemudian disampaikan kepada Daniel.

“Berdasarkan rekod penjara, anak guam kami sepatutnya bebas pada Isnin ini, namun apabila ada prosiding semakan, dia akan dibawa terlebih dahulu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam,” katanya.

Khamis lalu, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhi hukuman itu ke atas Daniel selepas remaja tersebut mengaku cuba mencuri tabung masjid, pada 8 Jan.

Media sebelum ini melaporkan tular di media sosial video berdurasi satu minit 25 saat, memaparkan tindakan jemaah sebuah masjid memandikan remaja itu seperti jenazah serta melumurkannya dengan kapur barus kerana mencuri tabung masjid.

No comments: