Jelaskan siapa mahu ‘campur tangan’ kes mahkamah, Anwar tanya Muhyiddin


Anwar Ibrahim menuntut penjelasan lanjut daripada Muhyiddin Yassin berhubung pendedahannya pada Ogos lalu yang beliau menerima tekanan daripada beberapa pihak untuk mencampuri urusan mahkamah, khasnya kes berprofil tinggi.

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim meminta bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menjelaskan dakwaan beliau menerima tekanan daripada beberapa pihak untuk mencampuri urusan mahkamah.

Gesaan itu menyusul kenyataan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat semalam bahawa beliau sama sekali tidak mencampuri dan secara peribadi tidak pernah didekati pihak tertentu untuk campur tangan dalam kes berprofil tinggi.

Tengku Maimun percaya hakim lain juga tidak pernah mengalami pengalaman sama dan mengulangi pendirian semua hakim membuat keputusan berdasarkan keterangan di mahkamah dan tidak boleh lari daripada prinsip teras itu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sebahagian ucapan Presiden Majlis Peguam, AG Kalidas berkaitan kenyataan Muhyiddin.

Anwar dalam kenyataan hari ini menuntut penjelasan lanjut daripada Muhyiddin yang mendedahkan wujud cubaan menggunakan dirinya mencampuri urusan mahkamah, khasnya kes berprofil tinggi tertentu.

“Ini kerana timbulnya kemusykilan dan kecurigaan umum apakah pihak eksekutif mencampuri urusan kehakiman? Meski kita akui adanya hakim-hakim yang tegas dan patuh tunduk pada hukum.

“Dalam konteks serupa, Peguam Negara harus juga memberi respons yang tegas,” kata Presiden PKR itu dalam kenyataan ringkas.

Pada 4 Ogos lalu, Muhyiddin dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung mendakwa ketegasannya tidak melayani permintaan “kluster mahkamah” menyebabkan beliau dituduh menderhaka Majlis Raja-raja.

“Saya tahu mereka kurang senang dengan ketegasan saya untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka. Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah,” kata Presiden Bersatu itu.

No comments: