DUN tak bubar hari ini, Umno Johor tolak ‘spekulasi’

 

Setiausaha Umno Johor, Samsolbari Jamali berkata, ia sekadar spekulasi DUN Johor dibubarkan hari ini dan sesiapa pun boleh buat spekulasi. (Gambar Bernama)

KULAI: Umno Johor hari ini menolak “spekulasi” berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dikatakan berlaku hari ini.

Setiausaha Umno Johor, Samsolbari Jamali berkata, Umno Johor juga tidak membuat sebarang perbincangan mengenai hal itu.

“Tiada, kita belum ada lagi perbincangan, ia hanya satu spekulasi, sesiapa pun boleh buat spekulasi, tetapi pada masa sama, seperti biasa Umno dan Barisan Nasional (BN) bekerja terus.

“Selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sehingga sekarang, kami kekalkan berkhidmat untuk rakyat dan sehingga sekarang kami tumpukan kepada kerja-kerja Covid-19 dan banjir,” katanya selepas menghadiri Program Seminar Pemantapan Jentera PRU15 Parlimen Kulai di Senai, dekat sini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad, yang juga Ketua Umno Johor.

Kerajaan Johor yang kini dipimpin BN, mempunyai kelebihan hanya satu kerusi di DUN, selepas Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas, Osman Sapian meninggal dunia 21 Dis lalu.

BN kini mempunyai 16 kerusi, Bersatu (11), PAS (satu) dengan 28 kerusi, manakala Pakatan Harapan mempunyai 27 kerusi daripada keseluruhan 56 kerusi DUN.

No comments: