ADUN Dap ditahan positif dadah: Aziz Bari enggan komen, tunggu laporan rasmi polis

 


ADUN Dap ditahan positif dadah: Aziz Bari enggan komen, tunggu laporan rasmi polis


DAP Perak enggan membuat ulasan lanjut berhubung dakwaan penahanan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu bersabit kes positif dadah pada Khamis.

Naib Pengerusi DAP negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata, adalah tidak wajar untuk memberi ulasan kerana beliau tidak mempunyai maklumat yang tepat atau sahih mengenai perkara itu.

Sehubungan itu, katanya, adalah lebih baik menunggu maklumat rasmi daripada pihak polis.

Menurutnya, setakat ini DAP sendiri masih belum mendapat sebarang laporan lanjut berhubung perkara berkenaan.

“Saya tidak mahu menafi atau mengesahkan kerana saya sendiri tidak ada maklumat tepat berkaitan kes itu, saya pun hanya dengar-dengar begitu sahaja.

“Jadi saya rasa lebih baik tunggu kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa,” katanya hari ini.

Menurut laporan media hari ini, seorang ADUN Perak ditahan bersama 35 individu lain selepas ujian saringan air kencing mereka positif dadah.

Wakil rakyat berusia 54 tahun itu ditahan di sebuah restoran yang dahulunya merupakan kelab malam di Perai, Pulau Pinang pada jam 9 malam, Khamis.

Bagaimanapun, tular di media sosial kononnya ADUN Perak yang dimaksudkan adalah daripada DAP.

Dalam pada itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming memaklumkan, ulasan berkaitan kes itu akan diberikan sebaik polis mendedahkan identiti ADUN yang ditahan.

“Tunggu sehingga polis dedahkan identiti ADUN itu, baru saya akan komen,” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui dalam program pelancaran buku ‘Lim Kit Siang: Malaysian First, Volume One: None But The Bold di Symphony Suites di sini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, DAP Perak memenangi 16 kerusi DUN namun tiga daripada mereka telah keluar menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) baru-baru ini.


No comments: