Tragedi kepala air: Operasi SAR tumpu kawasan tepi sungai dan dapur rumah

 

Dalam kejadian itu, 30 orang termasuk sembilan kanak-kanak
 terkandas dengan kejadian banjir lumpur ketika mengunjungi sebuah
 kawasan chalet di Bentong, Pahang. (Gambar Bernama)


BENTONG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa dalam kejadian tiga individu dikhuatiri hilang dibawa arus sungai di kawasan chalet sebuah pusat peranginan, di sini, kini ditumpukan kepada kawasan tepi sungai dan bahagian dapur rumah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands Yusry Abdullah Sani, berkata pencarian di kedua-dua lokasi berkenaan akan dilaksanakan, esok.

Beliau berkata, tumpuan di tepi sungai mencari kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, Emmanuel Chang, manakala di bahagian dapur pula untuk menjejaki Bobby Lim Yoke Hoong.

“Sebelum ini, kami menemui satu kawasan positif (keberadaan) Emmanuel yang dikesan oleh anjing K-9 namun setelah hari ini menggunakan jengkaut di lokasi itu, tidak menemui sebarang petunjuk kanak-kanak itu berada di bawah chalet itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Yusry berkata, pencarian Bobby akan difokuskan kepada bahagian dapur rumah yang dipercayai lokasi terakhir mangsa berada.

“Kami telah meninjau kawasan dapur rumah berkenaan dan mendapati pasir tebal setinggi dua meter memenuhi ruang kawasan berkenaan serta dipenuhi kayu-kayan,” katanya.

Mengenai cabaran mencari mangsa pada hari ketiga ini, beliau berkata faktor cuaca memainkan peranan penting dan operasi SAR akan dihentikan sekiranya hujan atas faktor keselamatan kerana terdapat satu air terjun di atas.

Beliau berkata, operasi SAR hari ini ditangguh pada jam 7 malam dan akan bersambung 8.30 pagi esok.

Katanya, operasi SAR hari ini melibatkan 62 kekuatan anggota terdiri daripada bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan polis.

Mayat seorang wanita ditemui pada 10.15 pagi tadi, mangsa dikenal pasti sebagai Yap Koon Lan, 66.

Sabtu lepas, lebih 30 orang termasuk sembilan kanak-kanak berdepan detik cemas apabila terkandas dengan kejadian banjir lumpur ketika mengunjungi sebuah kawasan chalet di Bentong, Pahang.

Susulan itu, seorang kanak-kanak dikenali sebagai Emmanuel serta pasangan suami isteri Bobby dan Yap dilaporkan hilang dalam insiden itu.

No comments: