Perubahan iklim: Bunyikan loceng amaran dengan lebih kuat lagi (Malay/English)

 



Jelas sekali, lebih banyak yang harus dilakukan pada kadar segera

Selalunya Malaysia akan bersedia untuk menghadapi musim banjir di kawasan Pantai Timur disebabkan oleh monsun yang biasanya berlaku pada waktu ini setiap tahun.

Tetapi apa yang tidak begitu dijangka pada kali ini ialah kejadian banjir besar yang melanda Lembah Klang. Ia dikatakan berpunca daripada fenomena seperti tekanan rendah tropika di rantau ini dan kesan-kesan taufan besar Rai yang melanda Filipina.

Memang benar kadar hujan yang turun di beberapa bahagian negara kali ini adalah luar biasa, tetapi apa yang paling penting ialah kita harus bersedia untuk menghadapi pelbagai peristiwa yang tidak dijangka seperti ini.

Malah ia mungkin akan berlaku dengan lebih kerap lagi disebabkan oleh kesan-kesan perubahan iklim.

Di seluruh dunia, peristiwa cuaca melampau yang tidak dijangka ini sedang menjadi lebih kerap, dan kebimbangan timbul tentang keperluan kita untuk memberi fokus terhadap langkah-langkah adaptasi serta pembinaan daya ketahanan terhadap perubahan iklim.

Turut diperlukan ialah peningkatan usaha bersiap siaga kita untuk menghadapi bencana.

Kita tidak boleh lagi menganggap kadar taburan hujan sebegini sebagai kejadian terpencil saja. Sebaliknya, kita harus membuat perancangan untuk menghadapi kejadian-kejadian seperti ini dan mengambil segala langkah yang diperlukan untuk mengurangkan kesannya.

Support the struggle to build a Malaysia based on Justice, Freedom, Solidarity:

·         Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both

·         Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948

·         Schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter

·         Become an Aliran member

Projek berskala besar terus berkembang

Malang sekali kita sememangnya gagal untuk bertindak pantas selama ini walaupun mempunyai perancangan semenjak Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) lagi bagi mengurangkan risiko bencana melalui adaptasi perubahan iklim dan memperkukuhkan pengurusan risiko bencana negara.

Baru-baru ini negara kita memulakan Pelan Adaptasi Kebangsaan untuk memberikan panduan berkenaan hal-hal perundangan, urus tadbir, perancangan dan penyelarasan kaedah-kaedah adaptasi serta indeks adaptasi untuk mengukur tahap keterdedahan negara terhadap kesan-kesan perubahan iklim.

Usaha ini perlu diambil dengan kadar yang lebih segera lagi kerana kenyataan sebenar telah pun menunjukkan bahawa negara kita ini masih belum bergerak ke arah yang sepatutnya; dengan pelbagai projek dan rancangan pembangunan yang masih berjalan seperti biasa.

Kita masih belum merancang atau bersedia dengan secukupnya, malah belum bersedia sama sekali untuk menangani kesan-kesan perubahan iklim yang sedang atau akan berlaku pada masa hadapan.

Banyak persoalan timbul berkaitan dengan hal ini.

Adakah penggubal dan perancang dasar negara kita di semua peringkat kerajaan (termasuklah para arkitek dan jurutera) cukup arif berkenaan kesan perubahan iklim semasa dan kesan-kesannya pada masa yang akan datang?

Adakah kita sedang merancang untuk menghadapi segala bentuk ancaman dan bencana yang bakal kita hadapi?

Promosi projek infrastruktur berskala besar seperti pembinaan jalan raya, terowong, penambakan laut dan pembangunan mega masih boleh dilihat di mana-mana.

Ia dilakukan dengan hanya sedikit – atau malah tiada – kebimbangan langsung terhadap risiko dan kesan-kesan perubahan iklim. Kelihatannya, tidak ada sebarang pertimbangan wajar tentang sama ada projek-projek sedemikian rupa akan menyumbang atau menjejaskan lagi daya tahan negara terhadap perubahan iklim.

Kita harus membunyikan loceng amaran dengan lebih kuat lagi dan cuba untuk menyesuaikan diri (jika boleh) kepada “norma baru” akibat kesan perubahan iklim ini.

Usah bazirkan dana awam

Kita juga harus bersedia untuk menghadapi keadaan yang menyaksikan langkah-langkah adaptasi akan menjadi mustahil untuk dilaksanakan.

Masa untuk melakukan pelaburan dalam segala perancangan dan langkah adaptasi perubahan iklim dan dalam pembinaan daya ketahanan terhadap perubahan iklim negara sudah lama kita lepasi.

Tindak balas segera amat diperlukan sekarang dan kita juga harus belajar daripada apa yang sedang dilakukan negara lain.

Terdapat juga dana antarabangsa yang tersedia, seperti Dana Iklim Hijau UNFCCC yang menyediakan sumber kewangan bagi membantu negara-negara seperti Malaysia untuk menghadapi cabaran perubahan iklim.

Jelasnya, kita memerlukan sebuah butang tetapat semula (reset) untuk perlindungan masa hadapan dalam dunia yang iklimnya sudah berubah. Kita juga harus melihat semula segala perkara yang kita lakukan dari lensa perubahan iklim.

Jika tidak, kita akan membuat pelaburan yang salah yang tidak memiliki kelestarian untuk jangka masa panjang dan hanya akan menjadi pembaziran besar sumber-sumber awam.

Pelan adaptasi segera yang merangkumi pendekatan berasaskan alam semula jadi diperlukan untuk memastikan bangunan, prasarana dan kawasan pesisiran pantai mempunyai daya ketahanan terhadap ribut, peningkatan kadar hujan, kebertahanan banjir, kenaikan paras laut, dan sebagainya.

Langkah-langkah pemuliharaan hutan dan tanah, termasuklah perlindungan kawasan tadahan air dan sungai untuk mencegah dan mengurangkan kejadian banjir, menjadikan kawasan bandar kepada sebagai ‘bandar-bandar span’ dan memperkukuhkan persisiran pantai kita melalui perlindungan dan pemulihan hutan paya bakau adalah komponen yang penting dalam rancangan tersebut.

Langkah-langkah yang lebih menyeluruh juga diperlukan bagi menangani kemarau, gelombang haba, kekurangan air, kesan-kesan ke atas pertanian, kesihatan, corak cuaca yang tidak menentu dan bencana.

Jelas sekali, lebih banyak yang harus dilakukan pada kadar segera. Jika tidak, kita mungkin sama sekali tidak akan bersedia untuk menghadapi bencana yang akan datang.

 Akibatnya tentulah amat buruk sekali, seperti yang telah kita lihat dari peristiwa banjir besar ini.

Meenakshi Raman ialah presiden Sahabat Alam Malaysia